Pemuda Umno bimbang pelbagai desakan akan jejas 1Malaysia

Diterbitkan: Khamis, 28 Mei 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pergerakan Pemuda Umno hari ini menyuarakan kebimbangan mengenai begitu banyak desakan terbuka yang dibuat tanpa mengambil kira sensitiviti masyarakat.

Naib ketuanya Datuk Razali Ibrahim berkata desakan-desakan itu dilihat akan menggagalkan hasrat 1Malaysia yang diketengahkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Desakan Hindraf sangat keterlaluan dan bersifat ugutan demi faedah satu kaum, (manakala) isu Chin Peng sengaja dibuat untuk mengelirukan sejarah pembinaan negara," dalam kenyataan kepada Bernama.

"Apapun tujuannya, harapan 1Malaysia perlu diambil kira dalam setiap tindakan kerana negara sememangnya terbina di atas asas kerjasama dan pengorbanan semua," tambahnya.

Beliau berkata jasa perajurit yang gugur mempertahankan negara ini jangan sesekali dilupakan hanya kerana negara sudah mengecapi kemakmuran.

"Semua ini akan hilang jika terlalu asyik melihat kepada kepentingan diri masing-masing dan akhirnya menggagalkan 1Malaysia," kata Razali, yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan.

Pergerakan itu seterusnya menggesa agar perkara-perkara seumpama itu ditangani secara matang dengan memberi penekanan kepada kepentingan pembinaan negara secara bersama agar ia dapat berjalan secara harmoni dan tersusun.

Mengenai isu biasiswa, Pemuda Umno menyarankan agar kerajaan terus memberi 100 peratus dana Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kepada pelajar Melayu serta Bumiputera yang memerlukan, dan bukan berasaskan kecemerlangan.

"Ini selaras dengan Perkara 153 Perlembagaan bagi mengimbangi perkembangan para pelajar mengikut status keluarga dan lokaliti di samping untuk membantu pelajar yang berpotensi tetapi terbatas keperluannya, mengejar kecemerlangan," katanya.

"Dalam masa yang sama, kerajaan dicadang agar menubuhkan dana baru yang bertujuan untuk penyediaan biasiswa kepada pelajar berasaskan kecemerlangan dalam peperiksaan tanpa mengira kaum, kedudukan atau tempat tinggal sebagai rangsangan kepada yang mempunyai keputusan terbaik dengan kriteria yang telus," katanya. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan