MT Umno bincang persiapan Manek Urai esok

Diterbitkan: Khamis, 28 Mei 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Majlis Tertinggi (MT) Umno akan mengadakan mesyuarat petang esok yang antaranya akan membincangkan persiapan parti itu bagi menghadapi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai Julai depan.

Ketua Penerangan Umno, Ahmad Maslan berkata, mesyuarat yang akan dipengerusikan Presiden, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak itu akan diadakan pada pukul 3 petang di ibu pejabat parti, Menara Dato' Onn, Kuala Lumpur.

"Mesyuarat esok adalah mesyuarat bulanan Umno.

"Kita semestinya akan membincangkan mengenai pilihan raya kecil DUN Manek Urai," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan pilihan raya kecil bagi kawasan itu adalah pada 14 Julai depan manakala hari penamaan calon adalah pada 6 Julai.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian ADUN kawasan itu, Ismail Yaacob, 60, daripada PAS, Jumaat lalu.

Sementara itu, Ahmad berkata, beliau akan turut mengangkat sumpah jawatan sebagai Ketua Penerangan parti pada mesyuarat MT esok.

"Saya akan angkat sumpah jawatan sebagai Ketua Penerangan baru.

"Mungkin ada lagi ahli-ahli MT yang masih belum mengangkat sumpah akan turut mengangkat sumpah jawatan esok," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan