Kerajaan pertimbang pindaan perundangan Mahkamah Tinggi

Diterbitkan: Khamis, 28 Mei 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Kerajaan sedang mempertimbangkan pindaan terhadap Kaedah-kaedah Mahkamah Tinggi 1980 bagi membolehkan perjalanan mahkamah direkodkan dalam bentuk digital.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata buat masa ini perundangan yang ada memerlukan rekod disimpan dalam bentuk fizikal (kertas) namun cadangan ini relevan dengan keperluan dan keadaan semasa.

"Saya telah meminta (Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri) Datuk Liew Vui Keong selaku pengerusi jawatankuasa pembaharuan undang-undang untuk melihat perundangan atau akta sekarang, supaya perjalanan mahkamah (tinggi) itu dilakukan bukan secara 'hard copy' (salinan keras) saja tapi termasuk 'soft copy' (salinan lembut) iaitu 'computerisation' (pengkomputeran)," katanya kepada pemberita selepas melawat Kompleks Mahkamah di Kota Kinabalu bersama Liew, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Nazri melahirkan rasa puas hati terhadap pengurangan kes-kes tertunggak di Sabah sejak sistem e-mahkamah diperkenalkan, di mana kes-kes yang didaftar sebelum tahun 2005 telahpun diselesaikan.

Ditanya mengenai rancangan untuk menambah fasiliti atau bangunan mahkamah negeri di sini, beliau berkata pihaknya akan meminta peruntukan RM260 juta untuk membina kompleks mahkamah baru di Kota Kinabalu sebagai tambahan kepada infrastruktur sedia ada.

Katanya Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman telahpun memberi sebidang tanah seluas dua hektar di Likas bagi tujuan itu dan sekiranya permohonan peruntukan tidak sempat diluluskan pada masa ini, ia akan dilakukan di bawah Rancangan Malaysia ke-10.

Nazri berkata beliau akan berjumpa dengan Peguam Negara Tan Sri Abdul Ghani Patail untuk berbincang mengenai pelantikan hakim di mahkamah rendah di negeri ini, kerana kekosongan dan kekurangan telah berlaku begitu lama.

Beliau berkata, Mahkamah negeri Sabah juga membangkitkan masalah pengangkutan yang tidak mencukupi bagi mahkamah bergerak dan mahkamah litar.

Terdahulu, Nazri telah melawat pejabat negeri Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM), Biro Bantuan Guaman (BBG) dan Jabatan Insolvensi Malaysia (JIM) di sini.

Nazri, yang berada di Sabah sehingga Ahad, akan melawat pusat tahanan sementara di Tawau dan Papar dan membuat lawatan ke Pulau Sipadan sebagai sebahagian aktiviti lawatan kerja beliau. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan