Ekonomi dijangka susut 4 hingga 5 peratus tahun ini

Diterbitkan: Khamis, 28 Mei 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Ekonomi negara ini dijangka menyusut kepada -4 peratus hingga -5 peratus pada tahun ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

Katanya ini berikutan langkah kerajaan menyemak semula unjuran kadar pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebenar Malaysia bagi tahun ini.

Beliau berkata ekonomi dijangka menunjukkan prestasi yang lebih baik pada separuh kedua tahun ini.

Pada Mac lepas, kerajaan mengunjurkan pertumbuhan negara antara -1 peratus dan 1.0 peratus.

Pada masa ini terdapat tanda-tanda awal pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi telah mula menunjukkan kesan positif, kata Najib.

Ini turut disokong oleh harga komoditi dan pasaran saham yang semakin meningkat serta keyakinan pelabur yang semakin meningkat, katanya.

"Walau pun, suku tahun keempat dijangka dicatat positif, kadar pertumbuhan bagi tahun ini masih negatif kerana suku tahun pertama negatif dan jangkaan pertumbuhan negatif pada suku tahun kedua dan ketiga," katanya kepada taklimat media di sini.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, turut menyatakan bahawa Malaysia telah berada di dalam keadaan kemelesetan teknikal.

"Pemulihan (negara) kita bergantung kepada pemulihan ekonomi dunia. Kita perlu melihat apa yang berlaku di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah. Jika mereka pulih, kita akan berada pada landasan untuk mencatatkan pertumbuhan," katanya.

Najib berkata sektor eksport telah menurunkan pertumbuhan suku tahun pertama yang telah menguncup 25 peratus selepas permintaan luaran merudum lebih tinggi daripada yang dijangka.

Katanya pelaburan swasta turut merosot 26 peratus.

"Pelaburan langsung asing (FDI) di seluruh dunia telah mengecut. FDI ke Malaysia merosot kira-kira separuh daripada angka tahun lepas. Sebab itu prestasi kita telah menurun," katanya.

Sehubungan ini, kerajaan akan memastikan pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Pertama dan Kedua serta perbelanjaan peruntukan bajet tahunan dapat memberi impak positif kepada ekonomi negara.

Najib berkata kesemua Menteri telah diberi tanggung jawab untuk memantau prestasi projek kementerian masing-masing untuk mempercepatkan lagi pakej rangsangan fiskal.

Ketika ditanya sama ada perlu diperkenalkan satu lagi pekj rangsangan, Najib berkata kerajaan sedang memantau keadaan itu dengan telitik dan akan melaksanakan apa sahaja yang terdaya untuk meminimumkan impaknya.

Najib berkata, kerajaan juga sedang berusaha untuk memantapkan lagi daya tahan dan daya saing ekonomi negara dengan memastikan bahawa peruntukan kerajaan dibelanjakan mengikut jadual dan mengutamakan nilai bagi wang; langkah liberalisasi diperhebat; pembangunan modal insan dipertingkatkan; akses kepada sumber kewangan diperluas dan dipermudahkan; serta sistem penyampaian perkhidmatan awam dimantapkan lagi.

Mengenai sektor perbankan, Najib berkata institusi kewangan di sini bukan sahaja berdaya tahan, malah sihat dan dibanjiri kecairan.

Malah, katanya aktiviti pemberian pinjaman meningkat 10 peratus.

Najib berkata garis panduan baharu juga akan dikeluarkan bagi Jawatankuasa Pelaburan Asing (FIC) untuk meningkatkan lagi liberalisasi sektor berkenaan di Malaysia.

"Garis panduan baharu FIC sedang disediakan dan akan dikeluarkan dan kini berada pada peringkat terakhir. Ia dijangka diumumkan tidak lama lagi," katanya. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan