DUN Manek Urai: Pilihan raya kecil 14 Julai

Diterbitkan: Khamis, 28 Mei 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Julai ini sebagai hari penamaan calon pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai, Kelantan.

Jika ada pertandingan, pengundian akan berlangsung 14 Julai.

Perkara itu diumumkan oleh Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof di sini hari ini.

Menurut beliau, penetapan tarikh itu dibuat selepas mengambil kira pelbagai faktor termasuk keupayaan pegawai-pegawai SPR untuk menyediakan daftar pemilih yang lengkap, aspek logistik, masa yang mencukupi untuk petugas-petugas, aspek keselamatan dan mengambil kira peristiwa-peristiwa lain khasnya di Kelantan.

Abdul Aziz berkata, walaupun hari penamaan calon dan pengundian ditetapkan pada hari bekerja, namun ia tidak menimbulkan sebarang masalah kerana 90 peratus pengundi adalah penduduk tempatan yang tinggal di kawasan tersebut dan bekerja sendiri.

“Mereka (pengundi) di Manek Urai bekerja sebagai petani, nelayan, penoreh getah dan hanya 10 peratus bekerja di luar Kelantan. Ia (tarikh pegundian dan penamaan calon) tidak akan memberi kesan kepada peratusan keluar mengundi,” kata beliau pagi tadi.

Jelas beliau, bagi mereka yang duduk di luar Kelantan, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan akan menulis surat kepada Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan Setiuasaha Kementerian Sumber Manusia untuk memberi pelepasan bagi kakitangan awam dan pekerja sektor swasta.

“Di bawah undang-undang, majikan perlu beri pelepasan kepada pekerja untuk keluar mengundi. Saya tak Nampak masalah pilihan raya ini diadakan pada hari cuti atau hari kerja,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai isu berkenaan, Aziz berkata, sebelum ini terdapat beberapa pilihan raya kecil diadakan pada hari bekerja seperti di Gua Musang, Pulai Condong dan Pengkalan Pasir.

SPR menjangkakan peratusan keluar mengundi pilihan raya kecil kali ini akan meningkat daripada 84 peratus kepada 85 peratus.

Dalam pada itu, Aziz berkata, SPR akan menyediakan sekurang-kurangnya lima kaunter untuk pengundi menyemak maklumat mengenai saluran pengundian mereka.

SPR turut memberi amaran kepada semua parti politik dan penyokong-penyonkong parti supaya mematuhi undang-undang di bawah Seksyen 26 (1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 berkaitan dengan larangan berkempen pada hari pengundian.

“Bagi pilihan raya kecil DUN Manek Urai, SPR telah bersetuju membenarkan Malaysia For Free and Fair Election (MAFREL) menjadi pemerhati perjalanan pilihan raya kecil.

“Jika ada apa-apa saya harap mereka (MAFREL) akan berjumpa dan maklumkan kepada kita terus bukan kepada media, seperti mana yang mereka lakukan pada pilihan raya kecil di DUN Batang Ai. Kita nakkan laporan dan sehingga kini kita belum menerima apa-apa laporan rasmi daripada mereka,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan mengenai pilihan raya kecil DUN Penanti yang akan berlangsung Ahad ini, Aziz berkata suasana sepanjang tempoh berkempen adalah aman setakat ini.

“Apabila ada ceramah yang datang cuma 20-30 orang, tak ramai melainkan bila ada pemimpin parti politik datang,” katanya.

Namun beliau menegaskan bahawa adalah tidak adil untuk mentafsirkan pilihan raya kecil DUN Penanti sebagai pilihan raya yang paling aman kerana parti utama, Barisan Nasional tidak bertanding di kawasan tersebut.

MAKLUMAT PILIHAN RAYA KECIL DUN MANEK URAI

Tarikh keluar writ: 1 Jun 2009 (Isnin)

Tarikh keluar notis: 7 Jun 2009 (Ahad)

Tarikh penamaan calon: 6 Julai 2009 (Isnin)

Tarikh pengundian: 14 Julai 2009 (Selasa) *jika ada pertandingan

Pegawai pengurus: Adnan Husin (Ketua Jajahan Kuala Krai)

Jumlah pemilih berdaftar: 12,293 pemilih berdaftar terdiri daripada 12,268 pemilih biasa dan 25 pemilih pos

Pusat penamaan calon dan penjumlahan rasmi undi: Dewan Petra, SMK Sultan Yahya Petra 1, Kuala Krai.

Pecahan undi mengikut bangsa: Melayu - 99.22 peratus; Cina - 0.46 peratus dan India - 0.23 peratus

BERITA TERDAHULU

SPR tentukan tarikh pilihan raya kecil Manek Urai hari ini

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bermesyuarat pagi ini menentukan tarikh pilihan kecil kerusi Dewan Undangan Negeri Manek Urai, Kelantan.

SPR akan mengumumkan tarikh menjelang tengah hari ini.

Kerusi berkenaan kosong berikutan kematian Ismail Yaacob Jumaat lalu.

Ismail, 60, daripada PAS memenangi kerusi Manek Urai sejak pilihan raya umum 1985 kecuali pada 2004. Pada pilihan raya umum ke-12, Ismail yang juga Timblan Yang Dipertua PAS Kuala Krai menewaskan Mohamed Zulkifli dari BN dengan majoriti 1,352 undi.

DUN Manek Urai terletak dalam kawasan Parlimen Kuala Krai yang turut terdiri daripada DUN Dabong, Guchil serta Mengkebang.

iklan

Video

Jumaat, 24 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Harry - Abang Lori Tenonenonet

Khamis, 23 November 2017 11:18 PM

Fazura Sah Tunangan Fattah Amin

Khamis, 23 November 2017 7:36 PM

Alahai KTM! Bila Isu Tren Tergelincir Nak Selesai?

Khamis, 23 November 2017 4:00 PM

Tatang Bagai Puteri, Tapi Ini Jadinya - Harris Baba

Khamis, 23 November 2017 3:45 PM

Tak Perlu 'FB Live' Anak Berjaya UPSR - Prof Muhaya

Khamis, 23 November 2017 2:32 PM

Bayar 'Ciput', Lepak Sampai Puas

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Kolumnis

iklan

Iklan