Manoharan tidak minat lobi jawatan Exco

Diterbitkan: Rabu, 27 Mei 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KLANG: Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Alam Shah, M. Manoharan, hari ini berkata beliau tidak berminat untuk melobi sebarang jawatan dalam barisan exco kerajaan Selangor.

Katanya beliau ingin menumpukan perhatian untuk memberikan khidmat terbaik kepada penduduk di kawasannya.

"Saya nasihatkan pihak tertentu berhenti membuat tuntutan kepada Menteri Besar Selangor (Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim) supaya melantik saya sebagai ahli exco," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi dialog bersama peniaga India dari Jalan Tengku Kelana di sini.

"Ahli exco Dr Xavier Jayakumar sudah melaksanakan tugas dengan baik dan saya akan membantunya dalam meningkatkan taraf hidup masyarakat India," kata Manoharan yang dibebaskan dari Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 9 Mei lalu.

Dr Xavier, yang juga ADUN Sri Andalas dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), merupakan satusatunya ahli exco keturunan India dalam barisan pentadbiran kerajaan negeri.

Dalam perkembangan lain, Manoharan dari DAP, merayu kepada kerajaan negeri Selangor supaya mencontohi langkah kerajaan Pulau Pinang dan memperuntukan dua jawatan timbalan menteri besar kepada calon bukan Melayu. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan