Krisis PPP: ROS lakukan siasatan segera

Diterbitkan: Rabu, 27 Mei 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Pendaftar Pertubuhan (ROS) melakukan siasatan segera berhubung status mesyuarat agung luar biasa (EGM) Parti Progresif Penduduk (PPP) dan kedudukan dua presiden parti itu.

Pendaftar Pertubuhan Datuk Md Alias Kalil berkata siasatan dilakukan secepat mungkin bagi membolehkan laporan mengenainya diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum Mesyuarat Agung PPP pada 7 Jun ini.

"Kita sedang siasat. Kena buat secepat mungkin. Seperti yang Perdana Menteri mahukan perkara itu diselesaikan dengan segera," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Perdana Menteri yang masih menunggu keputusan ROS berhubung status PPP.

Semalam, Najib berkata parti komponen Barisan Nasional (BN) itu ada menjemput beliau menghadiri Mesyuarat Agung PPP pada 7 Jun ini tetapi akan menunggu keputusan ROS mengenai status parti tersebut.

Md Alias berkata pihaknya bukan sahaja perlu mengkaji daripada segi undangundang berhubung kemelut dalaman PPP itu tetapi juga perlu mendapatkan maklumat lain sebelum membuat keputusan.

Mengenai Presiden PPP Datuk M. Kayveas yang mahu menemui ROS hari ini bagi menyerahkan beberapa dokumen mesyuarat tahunan parti yang hilang, Md Alias berkata beliau hanya tahu mengenainya di dalam akhbar hari ini.

Beliau bagaimanapun, enggan mengulas lanjut mengenai kenyataannya semalam berhubung status Kayveas yang masih kekal Presiden PPP kerana beliau telah memberi penjelasan yang terperinci berhubung perkara itu.

Semalam, Md Alias berkata ketika ini Kayveas masih kekal Presiden PPP selagi ROS belum membuat keputusan mengenai siasatan membabitkan dakwaan Kayveas dan Datuk T. Murugiah bahawa masing-masing adalah presiden parti itu.

Katanya semua jawatan dalam PPP adalah bersifat status quo dan tiada masalah bagi parti itu untuk mengadakan mesyuarat agung tahunannya pada 7 Jun ini.

Ahad lepas, Murugiah yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang sebelum ini dipecat sebagai anggota Majlis Tertinggi PPP, dipilih sebagai presiden baru parti dalam satu mesyuarat agung luar biasa parti yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya. BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan