Anwar saman Anifah RM100 juta - Berita Semasa | mStar

Anwar saman Anifah RM100 juta

Diterbitkan: Rabu, 27 Mei 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Penasihat Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memfailkan saman fitnah terhadap Menteri Luar Datuk Anifah Aman bagi menuntut ganti rugi RM100 juta berhubung kenyataan menteri itu pada satu sidang akhbar di Washington baru-baru ini.

Writ saman itu difailkan di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini pada 2.10 petang oleh firma guaman Messrs S.N.Nair & Partners.

Saman itu menamakan Anifah berdasarkan kedudukannya sebagai seorang individu dan Anggota Parlimen Kimanis sebagai defendan pertama, Menteri Luar sebagai defendan kedua, dan kerajaan Malaysia dinamakan defendan ketiga.

Anwar yang juga Ketua Pembangkang menuntut ganti rugi pampasan RM100 juta, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan dan injunksi untuk menahan Anifah melafaz, bercakap atau menulis atau menerbitkan perkataan fitnah itu.

Dalam pernyataan tuntutannya, Anwar berkata bahawa pada 16 Mei lepas, Anifah membuat kenyataan di Jabatan Negara di Washington semasa sidang akhbar bersama Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Hillary Clinton bahawa Anwar ada menawarkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri kepadanya sekiranya pembangkang menubuhkan kerajaan pada 16 Sept tahun lepas.

Anwar juga berkata Anifah memfitnahnya dengan menyatakan beliau sedang membuat cubaan untuk membeli Anggota Parlimen dan Anwar memburukkan imej negara.

Anwar juga mendakwa Anifah telah mencetuskan kebencian dan kemarahan umum terhadapnya, merendahkan tarafnya, menggalakkan dan memulakan penghinaan politik serta mengaburkan kebenaran dan menyebarkan sesuatu yang palsu. BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan