Pengumuman PPSMI beberapa minggu lagi - Muhyiddin

Diterbitkan: Selasa, 26 Mei 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Keputusan mengenai dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dijangka diumumkan dalam masa beberapa minggu lagi, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata beliau sedang memuktamadkan laporan mengenai isu itu sebelum memberikan taklimat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dan dibentangkan kepada Kabinet.

Beliau berkata kementerian akan memastikan laporan yang akan dibentangkan kepada Kabinet itu mengandungi pelan komprehensif dan bukan sekadar keputusan.

"Saya mahu semua orang gembira dengan pelan itu dan pada masa yang sama berpuas hati dengan dasar kementerian.

"Saya mesti pastikan semua sumber, infrastruktur disediakan, ibu bapa gembira anak mereka tidak menjadi mangsa dan paling penting ia akan mencapai dasar pengajaran kebangsaan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan tujuh pertubuhan Cina mengenai isu pendidikan di pejabatnya di sini.

Timbalan Perdana Menteri berkata beliau masih terbuka untuk menerima pandangan daripada pelbagai pihak mengenai PPSMI dan semua pandangan akan diambil perhatian sewajarnya sebelum laporan mengenai dasar PPSMI dimuktamadkan.

Mengenai pertemuan dengan wakil tujuh pertubuhan itu, Muhyiddin berkata pelbagai isu pendidikan dibincangkan termasuk mengenai PPSMI dengan pertubuhan berkenaan minta ia dimansuhkan.

Berhubung isu kekurangan tenaga pengajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, katanya beliau mencadangkan pertubuhan itu memanggil pemohon yang telah ditemu duga tetapi tidak ditawarkan.

"Untuk peringkat awal, kekurangan itu akan diatasi dengan mengambil siapa yang telah ditemuduga sebelum ini tetapi belum terpilih, dipanggil untuk mengisi kekosongan itu," katanya.

Berhubung permintaan agar Sijil Peperiksaan Bersama diberikan pengiktirafan, Muhyiddin memaklumkan pengiktirafan itu tidak dapat diberikan selagi ia tidak mematuhi dasar pelajaran yang ditetapkan kementerian.

"Selagi ia tidak mematuhi piawaian...kita tidak akan iktiraf walaupun mereka telah lulus," katanya.

Muhyiddin turut menolak permintaan wakil pertubuhan agar sekolah persendirian diberikan bantuan oleh kerajaan.

"Kalau sekolah itu nak dibantu seperti dasar yang ada sekarang mereka perlu patuh kepada dasar...selagi mereka ingin bebas dan merdeka maka tak wajarlah kerajaan nak bantu selaras dengan polisi kementerian," katanya.

Mengenai permohonan agar yuran peperiksaan calon Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SKJC) dikecualikan, Muhyiddin berkata pada dasarnya perkara itu disokong tetapi ia juga akan melibatkan sekolah lain seperti Sekolah Agama Rakyat.

"Perkara itu tertakluk kepada kelulusan Kementerian Kewangan," katanya.

Mengenai permintaan bagi lebih banyak sekolah Cina dibina, Muhyiddin berkata sebanyak enam sekolah baru akan dibina manakala sejumlah 14 SKJC akan dipindahkan dan dibangunkan semula.

Bagaimanapun, katanya usaha itu memerlukan bantuan daripada pertubuhan berkenaan untuk mencari tapak baru bagi sekolah berkenaan. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan