MB Selangor mahu kajian undang-undang perhimpunan awam dibuat

Diterbitkan: Isnin, 25 Mei 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor hari ini meminta kerajaan persekutuan dan polis supaya mengkaji semula undang-undang berkaitan perhimpunan awam di negara ini.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata kajian itu perlu bagi menentukan kriteria dan syarat yang diperlukan bagi mendapatkan permit untuk mengadakan perhimpunan.

Kerajaan perlu merangka undang-undang berhubung perhimpunan awam yang mengikut piawaian antarabangsa, katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan jabatan kerajaan Selangor di sini hari ini.

"Kami hanya mahu wujudnya keadaan fleksibel berhubung dengan undang-undang yang membenarkan orang ramai mengadakan perhimpunan, katanya sebagai mengulas penahanan polis dan perintah reman terhadap 16 orang termasuk Anggota Dewan Undangan negeri (ADUN) Teratai Jenice Lee, kerana mengadakan perhimpunan sambil memasang lilin di Pandan Indah, malam Khamis lepas.

Perhimpunan itu sebagai protes terhadap kemelut politik di Perak dan diadakan di luar pusat khidmat ADUN berkenaan.

Ketua Siasatan Jenayah Ampang Jaya DSP Goh Lee Fook, berkata tiada permit dikeluarkan bagi perhimpunan itu.

Khalid berkata kes penahanan itu sepatutnya tidak berlaku memandangkan Lee dan yang lain berhimpun secara aman sematamata untuk melahirkan rasa tidak puashati dan tiada tanda-tanda bahawa perhimpunan itu mengancam ketenteraman awam. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan