Tujuh pertubuhan Cina jumpa TPM bincang isu PPSMI

Diterbitkan: Ahad, 24 Mei 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Tujuh pertubuhan Cina akan mengadakan perjumpaan dengan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membincangkan mengenai Pengajaran dan Pembelajaran Matematik dan Sains Dalam Bahasa Inggeris (PPMSI).

Kumpulan itu ialah Dong Zong (Persatuan Jawatankuasa Sekolah Cina Bersatu Malaysia), Jiao Zong (Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Bersatu Malaysia), Hua Zong (Persekutuan Persatuan Cina Malaysia), Persatuan Tujuh Suku Kaum Utama, Persatuan Alumni Sekolah Cina Bersatu Malaysia, Persatuan Alumni Universiti Nanyang Malaysia dan Persatuan Alumni Graduan Taiwan Malaysia.

Presiden Dong Zong, Dr Yap Sin Tian memberitahu Bernama bahawa perjumpaan itu dijadual Selasa ini berikutan permohonan pertubuhan itu kepada Timbalan Perdana Menteri untuk mengadakan perjumpaan bagi membincangkan isu pendidikan.

Katanya pada perjumpaan itu, tujuh pertubuhan itu akan menyerahkan memorandum berhubung permintaan mereka supaya pengajaran matematik dan sains di sekolah rendah dijalankan dalam bahasa ibunda mereka.

Perjumpaan itu adalah yang pertama antara pertubuhan berkenaan dengan Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, sejak memegang jawatan timbalan perdana menteri awal bulan lepas.

Sebelum ini, pertubuhan Cina terbabit telah memohon untuk mengadakan perjumpaan dengan Menteri Pelajaran sebelum ini Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein tetapi tidak sempat diadakan.

Jumaat lepas, Muhyiddin mengadakan perjumpaan dengan Gagasan Veteran Malaysia selepas pergerakan itu memohon mengadakan perjumpaan bagi memberikan pandangan mengenai dasar PPMSI.

Pergerakan itu antara lain memberikan pandangan bahawa Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia patut diajar sebagai bahasa daripada melalui pengajaran subjek seperti matematik dan sains. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan