ADUN Teratai DAP antara 16 ditahan dibebaskan

Diterbitkan: Ahad, 24 Mei 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seramai 16 orang termasuk Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teratai Jenice Lee yang ditahan kerana terlibat dalam perhimpunan nyalaan lilin di Ampang, Khamis lepas dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Abdul Jalil Hassan ketika dihubungi Bernama berkata kesemua mereka bagaimanapun dikehendaki hadir semula ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya pada 10 Jun depan bagi melengkapkan kertas siasatan.

Mereka yang terdiri daripada 12 lelaki dan empat wanita itu ditahan kira-kira pukul 8.45 malam Khamis lalu selepas mengadakan perhimpunan nyalaan lilin di luar pejabat DAP Ampang Jaya di sini.

Ini merupakan kali kedua dalam tempoh seminggu ADUN Teratai itu ditahan polis atas perbuatan yang sama.

Kali pertama ialah pada pukul 8.30 malam Rabu lepas kerana melakukan perbuatan itu di hadapan pejabat Anggota Parlimen Seputeh di Jalan Kuchai Lama, di sini dan dibebaskan pada 4 pagi Khamis.

Perhimpunan itu dipercayai diadakan sebagai bantahan terhadap situasi krisis politik di Perak. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan