Zambry MB Perak sah

Diterbitkan: Sabtu, 23 Mei 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir diisytiharkan sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Keputusan sebulat suara panel tiga hakim Mahkamah Rayuan itu diumumkan kira-kira pukul 3.50 petang semalam, sekali gus mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi 11 Mei lalu.

Hakim Datuk Md Raus Shariff yang bersidang bersama Hakim Datuk Zainun Ali dan Hakim Datuk Ahmad Maarop berkata, pihaknya mendapati keputusan Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar yang sah adalah salah.

Katanya, Hakim Mahkamah Tinggi telah terkhilaf dalam membuat interpretasi yang relevan dalam Undang-undang Tubuh Negeri Perak.

"Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi berkenaan telah gagal menilai dengan betul dan secukupnya kesemua keterangan yang ada padanya sehingga membuat keputusan yang salah," katanya.

Mohammad Nizar dan Zambry tidak hadir di mahkamah ketika keputusan diumumkan.

Dalam penghakimannya, Hakim Md Raus juga mendapati Sultan Perak Sultan Azlan Shah membuat keputusan yang betul berhubung pelantikan Zambry sebagai Menteri Besar yang baru berdasarkan Perkara 16(2) Undang-undang Tubuh Negeri Perak selepas baginda berpuas hati bahawa Zambry mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Selain itu katanya, tiada syarat mandatori dalam Undang-undang Tubuh Negeri Perak bahawa undi tidak percaya terhadap Mohammad Nizar mesti dilakukan dalam Dewan Undangan Negeri dan ia boleh diperolehi atau ditentukan dengan cara lain.

Justeru, Hakim Md Raus berkata, tindakan Sultan Perak bertanya sendiri bagi memuaskan hati baginda bahawa Mohammad Nizar tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti adalah betul.

Katanya, Mohammad Nizar juga seharusnya meletakkan jawatan apabila Sultan tidak bersetuju untuk membubarkan DUN kerana kuasa untuk membubarkan Dewan adalah kuasa Sultan.

"Kami berpendapat bahawa keputusan sama ada untuk membenarkan atau tidak permohonan pembubaran Dewan Undangan Negeri adalah dalam bidang kuasa Sultan.

"Berdasarkan keterangan dalam kes ini, permohonan membubarkan Dewan dibuat mengikut Perkara 16 (6) Perlembagaan Perak dan bukannya Perkara 36 Perlembagaan itu," katanya.

Selepas keputusan Mahkamah Rayuan diumumkan petang ini, peguam yang mewakili Mohammad Nizar, Sulaiman Abdullah, memohon mendapatkan penghakiman bertulis daripada mahkamah untuk tujuan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Mahkamah bersetuju dengan permohonan itu.

Isu perundangan melibatkan Zambry dan Mohammad Nizar telah bermula sejak Februari lalu apabila Dr Zambry telah dilantik sebagai Menteri Besar menggantikan Mohammad Nizar selepas Barisan Nasional (BN) mengambil alih pemerintahan Perak daripada Pakatan Rakyat.

Berikutan itu, pada 13 Februari lalu, Mohammad Nizar memfailkan permohonan untuk mengisytiharkan beliau sebagai Menteri Besar yang sah.

Kemudiannya pada 11 Mei, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Zambry bagaimanapun membuat rayuan berhubung keputusan itu pada 12 Mei dan Mahkamah Rayuan membenarkan penangguhan keputusan Mahkamah Tinggi sehingga kes rayuan Zambry selesai.

Mohammad Nizar keesokannya pula membuat permohonan bagi mengenepikan keputusan Mahkamah Rayuan itu bagi penangguhan pelaksanaan itu.

iklan

Video

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Selasa, 14 November 2017 9:00 AM

“Penat..Tapi Best!” - Nad Zainal

Kolumnis

iklan

Iklan