Zambry syukur, harap pembangkang hormati undang-undang

Diterbitkan: Jumaat, 22 Mei 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SLIM RIVER: Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir bersyukur dengan keputusan Mahkamah Rayuan hari ini yang mengisytiharkan beliau sebagai Menteri Besar Perak yang sah dan berharap pembangkang menghormati proses perundangan itu.

"Saya bersyukur kepada Allah, dengan rasa tawadduk terima keputusan seperti juga apabila dimaklumkan keputusan Mahkamah Tinggi (yang mengisytiharkan pada 11 Mei lepas bahawa Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin adalah Menteri Besar yang sah)," katanya.

Dr Zambry berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan persidangan serentak cawangancawangan Umno Bahagian Tanjung Malim di sini hari ini.

Beliau berharap pembangkang menghormati proses perundangan itu bagi memastikan suasana kestabilan dan keamanan di Perak menjadi keutamaan.

"Ini (kestabilan dan keamanan) yang diingini oleh rakyat jelata. Biarlah proses mahkamah berjalan, jangan guna medan ceramah untuk herdik atau nafikan keputusan yang dibuat," katanya sambil menegaskan bahawa beliau dan barisan Exco akan memberi keutamaan kepada usaha pentadbiran dan pembangunan negeri.

Katanya, beliau akan terus mengutamakan pentadbiran kerajaan negeri dan menjalankan tugas yang diamanahkan dengan sebaiknya untuk pembangunan negeri Perak.

Dr Zambry yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak berkata sepanjang krisis politik di Perak, BN berusaha sedaya upaya pastikan kestabilan dan keamanan dengan tidak menganjurkan ceramah dan demonstrasi.

Ditanya pemberita kemungkinan proses perundangan berlarutan ke Mahkamah Persekutuan, beliau berkata proses perundangan yang akan diambil biarlah dilakukan mengikut prosedur dan tidak dimanipulasikan.

Mahkamah Rayuan hari ini mengisytiharkan Dr Zambry sebagai Menteri Besar Perak yang sah dalam satu keputusan sebulat suara selepas mendapati keputusan Mahkamah Tinggi pada 11 Mei lepas bahawa Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin adalah Menteri Besar yang sah adalah salah.

Mahkamah Rayuan juga mendapati Sultan Perak Sultan Azlan Shah membuat keputusan yang betul bagi melantik Zambry sebagai Menteri Besar yang baru, berdasarkan Perkara 16 (2) Undangundang Tubuh Kerajaan Negeri Perak, selepas baginda berpuas hati bahawa Zambry mempunyai sokongan majoriti Anggota Dewan Undangan Negeri.

Sebelum itu, dewan di mana majlis perasmian persidangan itu diadakan, riuh rendah dengan sorakan kegembiraan dan laungan "Hidup Umno dan Hidup Zambry" sebaik keputusan Mahkamah Rayuan diumumkan.

Ketua Umno Bahagian Tanjung Malim Datuk Khusairi Talib berkata keputusan berkenaan diterima oleh Dr Zambry melalui khidmat pesanan ringkas (SMs) pada kira-kira 3.55 petang. BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Isnin, 16 Oktober 2017 2:00 PM

Jom Santai Bersama Ruhainies Dan Tajul!

Isnin, 16 Oktober 2017 1:17 PM

Macam Mana Boleh Tersepit?

Isnin, 16 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Haters Maki Tajul Di Instagram!

Jumaat, 13 Oktober 2017 2:30 PM

Ruhainies Bersedia Untuk Berkeluarga

Jumaat, 13 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Farisha Irish - Tak Malu

Khamis, 12 Oktober 2017 9:00 PM

Hafiz Keliru, Saya Tak 'Madukan' Suami - Joy Revfa

Khamis, 12 Oktober 2017 5:22 PM

Punyalah Menangis, Pun Tak Lepas...

Khamis, 12 Oktober 2017 2:00 PM

Xpose Band 'Geng' Jurutera

Kolumnis

iklan

Iklan