Malaysia - Singapura setuju bina jambatan ketiga

Diterbitkan: Jumaat, 22 Mei 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SINGAPURA: Malaysia telah mencadangkan kepada Singapura bahawa sebuah jambatan baru dibina bagi menghubungkan bahagian timur Johor ke negara pulau itu.

Jambatan baru itu akan dapat membantu melancarkan lagi pergerakan orang ramai, barangan dan perkhidmatan antara keduadua negara, kata Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak pada sidang akhbar bersama dengan rakan sejawatnya dari

Singapura Lee Hsien Loong di sini hari ini. Najib, yang berada di sini sejak semalam bagi lawatan rasmi dua hari ke republik ini, berkata jambatan baru itu juga akan membantu membangunkan bahagian timur Johor seperti di kawasan di Pengerang, termasuk Desaru, yang masih kurang membangun tetapi mempunyai potensi ekonomi yang besar.

Beliau berkata jalan penghubung sedia ada seperti Tambak Johor, sudah mempunyai jumlah trafik yang banyak dan telah menjejaskan kelancaran pergerakan orang ramai dan barangan antara keduadua negara berjiran.

Kedua-dua belah pihak bersetuju untuk meneliti cadangan itu daripada segi jangka sederhana dan jangka panjang dan juga bersetuju untuk menjalankan kajian terhadap daya maju jambatan itu, kata Najib dan menurutnya cadangan jambatan baru itu merupakan satu daripada hasil mesyuarat dua hala mereka untuk mengukuhkan lagi kerjasama antara Malaysia dan Singapura.

Najib juga berkata beliau mencadangkan pusat kesihatan dan kecergasan diwujudkan di kawasan pembangunan Iskandar Malaysia yang akan mempamerkan peningkatan kerjasama antara keduadua negara.

Perdana Menteri berkata pusat kesihatan dan kecergasan itu akan dapat menarik bukan sahaja warga Singapura tetapi juga warga Malaysia dan pelawat asing kerana pergi ke spa, mendapatkan rawatan perubatan, homeopati dan rawatan herbal kini "amat popular" di kalangan orang ramai.

Najib berkata sebagai sebahagian pelaburan ikonik lain, Lee mencadangkan sebuah bandar baru yang menggabungkan pembangunan bercampur dibuka supaya warga Singapura mempunyai peluang yang lebih fleksibel untuk melabur atau memindahkan perniagaan mereka di Singapura ke Iskandar Malaysia.

Menyatakan Iskandar Malaysia telah mencatatkan kemajuan pesat sejak dilancarkan pada 2006 dan telah menarik kirakira RM42.6 bilion dalam pelaburan, Najib berkata beliau berharap untuk melihat penyertaan lebih banyak warga Singapura di koridor pembangunan di selatan itu.

Perdana Menteri juga berkata Malaysia turut bersetuju dengan permintaan Singapura untuk membuka pejabat Kaunselor di Johor Baharu untuk membantu rakyat Singapura yang memerlukan bantuan di sana.

Lee berkata jumlah rakyat Singapura yang pergi dan melalui Johor kini semakin meningkat dan tiada siapa untuk membantu mereka jika mereka menghadapi masalah kerana beliau secara peribadi mengalaminya apabila rakyat Singapura menghubunginya meminta bantuan apabila mereka terkandas di sana.

Najib juga berkata untuk meningkatkan lagi hubungan, keduadua kerajaan bersetuju untuk menggalakkan lebih banyak hubungan udara antara keduadua negara terutamanya oleh syarikat penerbangan murah.

Mengenai keselamatan, Perdana Menteri Lee sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada pihak berkuasa Malaysia atas kejayaan menahan pelarian paling dikehendaki Singapura, Mas Selamat Kastari, disyaki pemimpin kumpulan militan Jemaah Islamiah, di Johor bulan lepas.

Bagaimanapun kepada satu soalan, Najib berkata tiada tempoh tertentu mengenai bila Mas Selamat akan diserahkan kepada Singapura tetapi pihak berkuasa di sini akan diberikan maklumat atau risikan terkini yang dikumpulkan oleh pihak Malaysia. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan