Gagasan Veteran Malaysia temui TPM, turut sentuh PPSMI

Diterbitkan: Jumaat, 22 Mei 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Gagasan Veteran Malaysia hari ini mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi memaklumkan tentang perkembangan dan kerja-kerja yang dijalankan pertubuhan itu.

Pengerusinya, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, pertemuan pihaknya dengan Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran hari ini berkisar kepada tiga perkara.

"Kami melaporkan kepada Timbalan Perdana Menteri berkenaan hasil kerja kami dan perbincangan adalah berkisar tentang tiga perkara iaitu penggunaan bahasa Inggeris dalam Sains dan Matematik dan pandangan telah kami kemukakan tentang perkara itu.

"Selain itu, ia juga berkenaan kemudahan yang ada bagi pelajar..persediaan untuk masuk ke universiti seperti kemudahan asasi sains dan matrikulasi," katanya ketika ditemui selepas pertemuan kira-kira sejam setengah di pejabat Timbalan Perdana Menteri, di sini.

Pertemuan itu turut disertai Profesor Diraja Ungku Aziz, Datuk Dr Hassan Ahmad dan Datuk Abdullah Abdul Rahman.

Selain itu katanya, Ungku Aziz turut menyatakan pandangan mengenai kaedah pembelajaran bahasa Inggeris dan bahasa Melayu yang sepatutnya perlu lebih memfokuskan kepada bahasa itu sendiri dan bukan kepada mata pelajaran.

Ahmad Sarji bagaimanapun enggan mendedahkan maklumat lanjut mengenai pertemuan itu termasuk pendirian mereka mengenai Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Beliau turut menyatakan sokongan terhadap saranan Muhyiddin untuk menyemarakkan aktiviti sukan di peringkat sekolah.

Katanya, beliau yang juga Presiden Persatuan Boling Padang Malaysia dan Timbalan Presiden Persatuan Kriket Melayu Malaysia (Kriket Melayu) bersedia untuk menawarkan kemudahan kepada sekolah yang berminat terhadap dua cabang sukan itu.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan