Malaysia sah bebas penularan tempatan virus H1N1

Diterbitkan: Rabu, 20 Mei 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Malaysia disahkan bebas daripada penularan tempatan bagi virus Influenza A (H1N1), berikutan tiada sesiapa pun daripada orang yang ditemui dalam dua kes yang disahkan 15 dan 16 Mei lepas turut menerima jangkitan sehingga tamat tempoh inkubasi virus itu hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata tempoh inkubasi virus itu adalah tujuh hari daripada pendedahan yang dikira dari 13 Mei lepas, iaitu tarikh kedua-dua pesakit tersebut masuk ke negara ini.

Bercakap kepada pemberita di sini, beliau berkata kesemua 222 orang yang dikuarantin di rumah kerana terdedah kepada dua pesakit itu sebelum ini, akan turut dibebaskan hari ini sekiranya tidak menunjukkan sebarang gejala dan akan dianggap bebas daripada virus tersebut.

Jumlah yang dikuarantin itu termasuk anggota keluarga pesakit, penumpang dan krew penerbangan MH091 dan AK5358, iaitu pesawat yang turut dinaiki kedua-dua pesakit itu serta anggota perubatan yang memeriksa keduadua mereka sebelum ini, katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata 39 penumpang dari kedua-dua pesawat itu masih tidak dapat dikesan, dan walaupun tempoh kuarantin telah berakhir mereka perlu bertanggungjawab dan melaporkan diri agar status mereka diketahui.

Kedua-dua pesakit yang dirawat di Hospital Sungai Buloh dan Hospital Pulau Pinang yang kini stabil dan tidak menunjukkan sebarang gejala akan dibenarkan keluar masing-masing esok dan lusa, sekiranya tidak lagi menunjukkan sebarang simptom penyakit itu, katanya.

Justeru, Dr Mohd Ismail berkata kementerian meminta orang ramai agar tidak bimbang dengan situasi Influenza A (H1N1) di negara ini kerana kes yang berlaku merupakan kes pembawaan dari luar dan bukannya jangkitan tempatan.

"Bagaimanapun saya menasihatkan orang ramai agar sentiasa mengambil perhatian serius terhadap situasi semasa penyakit ini dan mendapatkan maklumat yang terkini dan tepat dari laman web kementerian iaitu www.moh.gov.my atau daripada pengumuman di media massa," katanya.

Sehingga pagi ini, Pusat Kesiapsiagaan Krisis dan Bertindak Cepat (CPRC) Kebangsaan menerima sejumlah 156 kes yang dimasukkan ke hospital bagi tujuan pemeriksaan virus itu, termasuk 22 kes yang dicatatkan semalam, namun kesemuanya didapati negatif selain dua kes yang disahkan sebelum ini.

Daripada 22 kes itu, 11 kes dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh, Selangor; dua kes di Hospital Sultanah Aminah, Johor; lima kes di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Pahang; dua kes di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Selangor; dan masing-masing satu kes di Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah.

Dua warga Amerika Syarikat (As) di Sabah yang dikuarantin kerana menaiki pesawat Cathay Pacific CX831 dari AS ke Hong Kong bersama warga Hong Kong yang disahkan positif Influenza A (H1N1) juga berada dalam keadaan sihat, katanya.

Dr Mohd Ismail berkata sehingga pagi ini, kumulatif penumpang yang disaring di semua pintu masuk adalah 121,185 orang dengan 111,246 daripadanya disaring di pintu masuk udara, 6,262 di pintu masuk darat dan 3,677 di pintu masuk laut.

Pagi ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan sebuah lagi negara terjejas akibat wabak itu iaitu Greece, menjadikan jumlah keseluruhan negara yang terjejas meningkat kepada 41 buah negara.

Sebanyak 9,855 kes disahkan oleh ujian makmal manakala jumlah kematian meningkat kepada 79 orang.

Ditanya sama ada kementerian akan meningkatkan pengawasan semasa kepulangan pelajar Malaysia dari AS sempena cuti musim panas tidak lama lagi, Dr Mohd Ismail berkata kementerian tidak akan "mewujudkan suasana panik".

"Kami akan memastikan siapa jua yang datang supaya melalui proses saringan tetapi yang penting ialah penumpang pesawat mengisi borang pengisytiharan kesihatan dengan baik.

"Saya diberitahu beberapa orang daripada mereka tidak dapat dihubungi kerana alamat dan nombor telefon yang diberikan tidak betul, di sini letaknya tanggungjawab mereka," katanya. BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan