Khir dan empat ADUN akan rujuk peguam berhubung cedangan penggantungan

Diterbitkan: Rabu, 20 Mei 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo berkata beliau dan empat Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) akan merujuk kepada peguam berhubung cadangan Jawatankuasa Hak Dan Kebebasan Selangor (JKHK) untuk menggantung mereka daripada menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) dan kemudahan elaun sebagai ADUN.

Beliau berkata biarpun ia hanyalah cadangan jawatankuasa itu dan akan diperbahaskan, beliau merasakan hukuman telahpun dijatuhkan memandangkan mereka yang merupakan Adun Barisan Nasional (BN) adalah pembangkang di dalam dewan.

Katanya beliau masih dapat menerima hukuman yang akan dikenakan kepada dirinya tetapi tidak dapat menerima kenapa empat Adun itu turut dihukum.

"Kita rasa kesal, saya anggap tindakan itu zalim kerana menggantung ADUN yang memberi teguran membina kepada kerajaan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Semalam mesyuarat JKHK yang dipengerusikan Teng Chang Khim yang juga Speaker DUN, mencadangkan Dr Mohamad Khir digantung menghadiri persidangan (DUN) dan kemudahan elaun sebagai Adun selama setahun selepas didapati bersalah kerana gagal hadir pada sesi pendengaran awam Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT) Mac lepas.

Dr Mohamad Khir yang merupakan ADUN Sungai Panjang juga didapati bersalah terhadap tiga lagi tuduhan iaitu mengeluarkan kenyataan dalam blog dan akhbar, mengutuk integriti jawatankuasa SELCAT dan menuduh SELCAT sebagai alat politik untuk memburukkan dirinya.

SELCAT ditubuhkan dengan bidang kuasa DUN bagi membolehkan pendengaran awam dilakukan berhubung penggunaan wang penajaan Badan Amal dan Kebajikan Isteri-Isteri Wakil Rakyat Selangor (Balkis) pada pertengahan Mac lalu.

Selain Dr Khir, empat lagi Adun BN, Datuk Marsum Paing (Dengkil), Mohd Isa Abu Kasim (Batang Kali), Datuk Warno Dogol (Sabak) dan Datuk Mohamed Idris Abu Bakar (Hulu Bernam) didapati bersalah menghina Dewan dan dicadang digantung perkhidmatan dan kemudahan elaun masingmasing selama enam bulan.

Dr Mohamad Khir berkata beliau dan empat lagi rakannya itu akan meneruskan khidmat sebagai wakil rakyat dalam menjaga kebajikan rakyat di kawasan masingmasing biarpun mereka digantung.

Katanya beliau akan terus memberi teguran kepada kerajaan negeri dan SELCAT sepatutnya menumpukan perhatian kepada isu yang berlaku pada masa sekarang ini dan bukannya mengorek kesalahan lampau.

"Kerajaan sekarang takut dengan teguran dan mahu tutup mulut BN, mereka tidak akan berjaya," katanya.

Dr Mohamad Khir berkata antara sebab beliau tidak menghadiri pendengaran awam itu ialah kerana soal Balkis adalah di bawah kuasa Pendaftar Pertubuhan (ROS,) bukannya kerajaan negeri yang tidak mempunyai "local standi" di dalam isu itu.

"Kalau begitu mengapa SELCAT tidak menyiasat pemimpin Parti Keadilan Rakyat berikutan dakwaan wang derma untuk sambutan 100 hari pemerintahan pakatan pembangkang di Selangor di masukkan ke dalam akaun parti," katanya.

Katanya banyak lagi isu yang boleh ditumpukan oleh SELCAT seperti isu Terminal Bas Klang yang menjadi rungutan rakyat dan ketidakcekapan pihak berkuasa tempatan.

"Tetapi mereka lebih cenderung memilih isu yang menguntungkan politik mereka," katanya. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan