PKR belum tentu menang selesa di Penanti

Diterbitkan: Selasa, 19 Mei 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak berada dalam kedudukan selesa untuk menang walaupun Barisan Nasional (BN) mengumumkan tidak akan meletakkan calonnya di Penanti, kata salah seorang pemimpin kanannya hari ini.

Sambil mengalu-alukan keputusan BN untuk tidak bersaing pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti, Pengerusi PKR Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, pendirian itu tidak menandakan Pakatan Rakyat berada dalam kedudukan selesa.

"Tidak, kita tidak cepat berpuas hati atau terlalu gembira (untuk menang) kerana dijangka akan ada ramai juga calon Bebas yang berminat untuk mencuba nasib mereka dengan sedikit sokongan daripada penduduk," kata Menteri Besar Selangor itu kepada media selepas majlis sambutan Hari Kebebasan Akhbar Dunia dan pelancaran rangkaian media dan komunikasi Selangor.

Semalam BN memutuskan untuk tidak meletakkan calonnya pada pilihan raya kecil DUN Penanti kerana kekosongan di kerusi itu bukan disebabkan oleh peruntukan dalam perlembagaan, sebaliknya dikatakan hanya mainan politik pembangkang.

PKR telah memutuskan calonnya iaitu Timbalan Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang, Mansor Othman, 56.

Selain PKR, calon bebas, Aminah Abdullah, 56, bekas Ketua Wanita PKR Pulau Pinang, turut menyatakan hasrat untuk bertanding.

Mengulas lanjut, Khalid berkata, Pakatan mesti memberi tumpuan kepada pilihan raya kecil itu kerana dalam demokrasi, sesiapa sahaja mempunyai hak untuk meletak jawatan dan digantikan.

"Rakyat yang menentukan siapakah yang akan dipilih untuk mewakili mereka di DUN atau di Parlimen," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan