Adakah BN tidak tanding DUN Penanti?

Diterbitkan: Isnin, 18 Mei 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Adakah Barisan Nasional (BN) akan bertanding, atau ia akan memutuskan untuk tidak terbabit dalam pilihan raya kecil Penanti pada 31 Mei ini?

Ia nampaknya menjadi topik perbualan yang hangat diperkatakan di kalangan pemimpin-pemimpin parti komponen BN semasa mereka menimbangkan pelbagai pilihan sebelum membuat sebarang keputusan muktamad pada mesyuarat Majlis Tertinggi di Putrajaya hari ini.

Kemungkinan BN tidak akan bertanding timbul selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dilaporkan berkata pilihan raya kecil yang tidak perlu adalah sesuatu yang membuang masa dan wang awam.

Penganalisis politik dan sumber dalaman parti melihat kenyataan ini sebagai tanda bahawa kepimpinan tertinggi BN mungkin menimbangkan untuk tidak bertanding kerana ia juga perlu mengambil kira kejerihan orang ramai terhadap perbalahan politik dalam negara.

Sejak pilihan raya pada Mac tahun lepas sehingga kini, Malaysia menyaksikan lima pilihan raya kecil.

"Saya secara peribadi bersetuju dengan langkah untuk tidak bertanding kerana pilihan raya kecil akan hanya melencongkan perhatian dan masa, yang seharusnya ditumpukan kepada perkara yang lebih mendesak seperti isu berkaitan ekonomi.

"Dengan tidak bertanding, BN dapat mengelak daripada terjerumus dalam perangkap (Datuk Seri) Anwar Ibrahim, kerana semua tahu bahawa dia memang merancang untuk mengadakan banyak pilihan raya kecil," kata Timbalan Presiden parti Gerakan Datuk Chang Ko Youn.

Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Datuk Dr Teng Hock Nan pula berpendapat bahawa BN tidak seharusnya bertanding "kerana kalah atau menang BN tidak akan membawa banyak perbezaan kepada lanskap politik negeri".

Beliau berkata, pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu juga tidak menjelaskan mengapa Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan itu Mohamad Fairus Khairuddin, meletak jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang dan kemudiannya mengundur diri sebagai wakil rakyat.

Memandangkan Penanti adalah kubu kuat PKR, Teng merasakan bahawa perletakan jawatan Fairuz adalah sebahagian daripada strategi kempen politik oleh PKR bagi meraih lebih banyak perhatian.

Bagaimanapun Setiausaha Agung Gerakan, Teng Chang Yeow pula merasakan bahawa soal sama ada BN harus bertanding atau tidak, banyak bergantung kepada sentimen di peringkat kawasan setempat terlebih dahulu.

Menurutnya sentimen di peringkat tempatan mungkin "berbeza daripada apa yang disangka".

"Ia adalah soal sekiranya tiada peluang untuk menang, mengapa perlu dikerah satu batalion yang cukup besar untuk ke medan perjuangan? Jimat tenaga, menangi hati dan minda rakyat serta tunggu pertempuran berikutnya adalah lebih penting," katanya.

Teng berkata sekiranya sentimen tempatan menunjukkan bahawa BN tidak seharusnya mengecewakan penyokongnya pula, ia perlu menyusun semula strategi, namun ia masih tidak perlu mengerah tenaga yang cukup besar untuk membantu pilihan raya kecil itu.

Pengerusi Bahagian MCA Permatang Pauh, Datuk Ma Kok Ben pula berkata tidak ada salahnya jika BN tidak bertanding pada pilihan raya kecil Penanti, dan ia masih boleh menyalurkan dana yang perlu, terus kepada penduduk di kawasan itu.

"Sekiranya anda sampaikan peruntukan semasa pilihan raya kecil, orang ramai mungkin mendakwa ia bertujuan membeli undi dan macammacam lagi," katanya.

Penganalisis politik James Wong pula percaya bahawa sekiranya BN memutuskan untuk tidak bertanding, ia masih membawa implikasi yang baik terhadap Najib apabila beliau akan dilihat sebagai lebih arif dan bijak dalam proses membuat keputusan.

"Sekiranya BN memutuskan untuk tidak bertanding, satu-satunya masalah yang perlu ditanganinya ialah di peringkat akar umbi, terutama membabitkan penyokong yang ingin sangat untuk bertanding apabila ada saja pilihan raya kecil," katanya.

Wong berkata Najib akan perlu meyakinkan penyokong BN bahawa keputusan untuk tidak bertanding adalah langkah yang bijak dan terbaik.

Beberapa pemimpin BN berkata sekiranya BN tidak bertanding dalam pilihan raya kecil ini, ia bukanlah kali pertama dalam sejarah bagi BN berbuat demikian.

Pada tahun 1975, BN tidak bertanding dalam pilihan raya kecil Menglembu.

Pilihan raya itu diadakan selepas Anggota Parlimen Fan Yew Teng dari DAP disabit dengan kesalahan berkaitan Akta Hasutan pada 13 Januari di Mahkamah Tinggi, di mana selain didenda RM2,000 atau enam bulan penjara, Fan turut dilucut daripada status beliau sebagai Anggota Parlimen.

Pilihan raya kecil kemudiannya diadakan namun BN memutuskan untuk tidak bertanding, dan akhirnya pilihan raya kecil tidak diadakan apabila Fan berjaya mendapatkan perintah mahkamah bagi menghalang pilihan raya kecil itu.

Biar apa pun keputusan mesyuarat Majlis Tertinggi BN hari ini, Umno Pulau Pinang sudah bersedia.

Ia sudahpun menghantar senarai kemungkinan calon kepada kepimpinan parti untuk membuat keputusan.

"Kami akan menerima sebarang keputusan oleh Umno dan kepimpinan BN, tapi Umno Negeri sudah bersedia untuk pilihan raya kecil," kata Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang Datuk Zainal Abidin Osman. BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan