Pergerakan keluar masuk ke Pulapol Air Hitam dihadkan

Diterbitkan: Sabtu, 16 Mei 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SEREMBAN: Pergerakan kesemua kakitangan dan pelatih Pusat Latihan Polis (Pulapol) Air Hitam, Bahau telah dihadkan ekoran penyakit 'Acute Pericarditis' yang dikesan di pusat itu.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Osman Salleh berkata pergerakan keluar masuk di pusat itu dihadkan seberapa minimum bagi membendung penyakit itu daripada merebak.

"Dalam situasi sekarang, kita juga tidak menggalakkan ibu bapa pelatih untuk melawat anak mereka di pusat itu. Langkah pencegahan dan kawalan ini diambil atas arahan Kementerian Kesihatan bagi memastikan penyakit ini tidak merebak," katanya kepada Bernama ketika ditemui di majlis pelepasan Konvoi Amal Jelajah Negeri Sembilan anjuran Kelab N9 Bikers di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kes kematian seorang pelatih pusat itu Khamis lepas berpunca daripada penyakit tersebut.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican dalam kenyataannya semalam berkata buat masa ini, terdapat dua kes yang dirawat di wad isolasi, Hospital Jempol. Keadaan mereka adalah stabil.

Dr Mohd Ismail juga berkata sebanyak 29 orang pelatih berada di dalam pemerhatian di hospital itu. Sehingga kini, sebanyak 166 kontak kepada kes telah dikenal pasti dan telah diberi antibiotik profilaksis.

Osman berkata aktiviti pemantauan ke atas pelatih dan kakitangan di pusat itu terus dijalankan oleh petugas kesihatan selama 24 jam dan sesiapa yang mempunyai gejala jangkitan akan dirujuk terus ke Hospital Jempol untuk rawatan lanjut.

"Saya minta semua pihak jangan bimbang kerana Kementerian Kesihatan sedang memantau keadaan dan telah mengambil langkah yang sesuai untuk membendung penyakit itu daripada merebak," katanya.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan mengesahkan terdapat dua kes meningitis yang dirawat di Wad Isolasi Hospital Jempol dan Hospital Tuanku Jaafar, Negeri Sembilan. Dr Mohd Ismail Merican berkata sebanyak 31 pelatih Pusat Latihan Polis (Pulapol) kini diletakkan dalam pemerhatian.

"Setakat ini, keduadua pelatih itu dilaporkan berada dalam keadaan stabil," katanya.

Beliau berkata sebanyak 787 kontak kepada kes telah dikenalpasti dan diberi antibiotik profilaksis.

"Aktiviti pemantauan kesihatan terhadap pelatih dan kakitangan di Pulapol terus dijalankan oleh petugas kesihatan selama 24 jam dan sesiapa yang mempunyai gejala jangkitan akan dirujuk terus ke Hospital Jempol untuk rawatan lanjut," katanya. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan