IPF pohon sertai BN - Berita Semasa | mStar

IPF pohon sertai BN

Diterbitkan: Sabtu, 16 Mei 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Front Progresif India (IPF) akan memohon kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN) untuk parti itu menyertai BN, kata presidennya Puan Sri Jayashree Pandithan.

"Kami kekal taat dan setia kepada BN sejak 20 tahun lalu dan kini sudah masuk 21 tahun dan kami masih tidak dapat menyertai gabungan itu sebagai sebuah parti komponen.

"Oleh itu saya merayu kepada Perdana Menteri mempertimbangkan permohonan kami dan membuat perubahan terhadap nasib beriburibu rakyat India yang miskin dan daif dengan memberikan IPF pengiktirafan," kata Jayashree pada sidang akhbar di sini hari ini.

IPF akan sentiasa menyokong BN dan komited mengembalikan sokongan masyarakat India, katanya.

Sementara itu, penasihat undang-undang IPF, S. Selvam yang hadir pada sidang akhbar itu mengutuk tindakan bekas timbalan presiden IPF V. Senggutuan kerana dikatakan menyalahgunakan surat Pendaftar Persatuan (ROs) kepada parti, bertarikh 30 Jan, 2009, yang mengisytiharkan pelantikan Jayashree tidak mengikuti Akta Persatuan 1966.

"Jayashree telah melantik ketua pemuda R.Suraienthiran untuk memfail semakan kehakiman terhadap surat ROS itu yang kami kemukakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 13 Feb.

"ROS kemudian menulis surat bertarikh 17 April ke pejabat Peguam Negara yang menjelaskan bahawa surat 30 Jan yang dialamatkan kepada parti adalah surat biasa yang berbentuk nasihat dan bukan keputusan atau notis perintah Pendaftar kepada pertubuhan berkenaan mengikut Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335)," katanya. BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan