Persoalan takutkan pilihan raya di Perak tidak timbul - Shafie

Diterbitkan: Jumaat, 15 Mei 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata persoalan utama sekarang bukan sama ada Barisan Nasional (BN) takut atau tidak untuk berdepan dengan pilihan raya negeri di Perak yang sedang mengalami krisis politik.

Shafie yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata ini kerana perkara itu sudah dibawa ke peringkat mahkamah, jadi biarlah proses undangundang dijalankan dengan secara teratur terlebih dahulu.

"Sekiranya mahkamah putuskan bahawa ia harus dilakukan di dewan, dewan itu harus digunakan...kalau keputusan mahkamah mengatakan perlunya diadakan undi tidak percaya ia perlu dipatuhi," katanya kepada pemberita selepas taklimat mengenai Jabatan Hal Ehwal Orang Asli dan Institut Kemajuan Desa di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau berkata sebaliknya jika asyik memenuhi desakan untuk diadakan pilihan raya, sampai bilapun urus tadbir negara tidak dapat dijalankan dengan sempurna.

"Kalau kita asyik adakan pilihan raya, apakah dapat penuhi keperluan masyarakat, apa yang penting di Perak (ialah) supaya kerajaan negeri dapat berfungsi, berjalan dengan lancar tanpa diganggugugat oleh kegiatan lain," katanya.

Beliau mengulas desakan banyak pihak termasuk daripada parti Gerakan yang menyatakan pilihan raya negeri patut diadakan di Perak bagi menamatkan krisis politik di negeri itu.

Shafie berkata jika peruntukan menyatakan bahawa sesiapa yang mendapat majoriti boleh memerintah negeri atau negara itulah yang sepatutnya.

"Kita (BN) bukannya gila kuasa...kalau kita majoriti takkan tak nak perintah negeri...kita yang majoriti, kenapa pulak yang bukan majoriti nak memerintah.

"Jika dilayan yang bukan majoriti menuntut diadakan pilihan raya, nanti negeri lain yang pembangkang tidak menang dan bukan majoriti juga akan menuntut perkara sama," katanya.

Sementara itu, Naib Presiden MCA Datuk Seri Kong Cho Ha berkata MCA sentiasa bersedia untuk menghadapi apaapa pilihan raya termasuk di Perak.

"Sebagai parti politik, kerja politik kami adalah berterusan, ia bukan disebabkan keadaan tertentu kerana kami memberikan khidmat sepanjang masa. Ia merupakan proses berterusan dan merupakan tugas kami," kata Kong yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hubungan MCA Perak kepada pemberita di sini.

Bagaimanapun katanya, untuk menentukan sama ada pilihan raya akan diadakan adalah merupakan kuasa mutlak Sultan Perak.

Ditanya mengenai pendirian MCA berhubung situasi politik di negeri itu, beliau berkata :" Kami menghormati keputusan mahkamah". BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan