Najib sedia tetapkan tarikh temui pembangkang tanpa syarat

Diterbitkan: Jumaat, 15 Mei 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MANADO: Datuk Seri Najib Tun Razak mengulangi kesediaannya bertemu pemimpin pembangkang malah akan menetapkan tarikhnya asalkan mereka tidak mengenakan sebarang syarat dalam mencari penyelesaian kepada kemelut politik di Perak.

"Kalau setakat nak berbincang, kita boleh bincang, tidak ada masalah. Saya sedia bertemu tapi jangan ada syarat. Nanti kita tetapkan tarikhnya dan masa yang sesuai," katanya ketika kepada wartawan Malaysia hari ini di akhir lawatannya ke sini untuk menghadiri Sidang Kemuncak Inisiatif Segi Tiga Terumbu Karang.

Pemimpin-pemimpin pakatan pembangkang dilaporkan mahu beliau menetapkan tarikh pertemuan itu tetapi mereka berpendirian bahawa jalan terbaik bagi menyelesaikan krisis politik itu ialah dengan membubarkan Dewan Undangan Negeri Perak agar pilihan raya negeri dapat diadakan.

Ketika diminta mengulas, Najib berkata: "Saya tak menolak apa-apa. Kalau nak jumpa boleh, tetapi tidak semestinya bubar. Pembubaran itu satu opsyen dan tak bubar pun satu opsyen yang boleh kita lihat juga."

Perdana Menteri berkata beliau juga perlu tahu siapa dan berapa orang pemimpin pembangkang yang ingin menghadiri pertemuan itu.

Menjawab soalan mengenai saranan supaya beliau menasihati Sultan Perak Sultan Azlah Shah agar membubarkan DUN Perak, Najib berkata keputusan itu adalah hak baginda.

Mengenai adanya pemimpin komponen BN sendiri yang setuju jika DUN Perak dibubarkan, Perdana Menteri berkata perbezaan pendapat seperti itu adalah satu perkara biasa.

"Tetapi hakikatnya ialah apa yang kita buat hendaklah tidak bertentangan dengan prinsip dan undang-undang negara serta peraturan dewan," katanya.

Sebaik selesai sidang akhbar itu, Najib dan delegasi berangkat ke Makassar untuk menziarahi Makam Sultan Hasanuddin di Gowa dan kemudiannya berlepas pulang ke Kuala Lumpur. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan