Krisis Perak: Pakatan mahu temui Najib bincang formula penyelesaian

Diterbitkan: Jumaat, 15 Mei 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat (PR) bersedia untuk mengadakan perbincangan dengan Barisan Nasional (BN) namun mereka telah menetapkan pendirian bahawa krisis politik Perak perlu dikembalikan kepada rakyat untuk penyelesaian.

Ia diputuskan pada pertemuan khas gabungan Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan PAS di Ibu Pejabat PAS di sini petang semalam.

Kesemua pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat hadir iaitu Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Dalam pada itu Anwar yang juga Ketua Umum PR berkata krisis politik Perak perlu diselesaikan segera dan meminta Sultan membubarkan DUN Perak bagi mengadakan pilihan raya kecil yang adil.

“Pendirian kita jelas krisis politik di Perak hanya boleh diselesaikan dengan mengembalikan kuasa kepada rakyat untuk memilih, dan bukan pihak istana atau mahkamah yang menentukannya.

“Majlis Pimpinan PR, mengambil sikap terbuka dan bersedia untuk bertemu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak untuk memperkukuhkan demokrasi dan institusi kerajaan negeri Perak. Kita bersedia untuk berjumpa dan kita harap perjumpaan itu akan diadakan secepat mungkin,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkata pilihan raya semula adalah satu daripada opsyen yang ada untuk menyelesaikan kemelut politik di Perak tetapi ia bukanlah sesuatu yang harus,

Najib berkata keputusan sama ada untuk mengadakan pilihan raya negeri di Perak bergantung kepada budi bicara Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Jelasnya, Barisan Nasional tidak gentar untuk menghadapi apa jua kemungkinan termasuk pilihan raya sekiranya itu yang diputuskan.

Mengulas lanjut mengenai isu tersebut, Anwar berkata, PR tidak bercadang untuk membincangkan agenda mengenai penubuhan kerajaan campuran di Perak dalam perbicangan bersama Najib.

“Kita mengharapkan kerjasama dalam bentuk menghormati Perlembagaan, kerjasama undang-undang dan menyerahkan kepada rakyat untuk menentukannya. Bukannya kerjasama yang dimaksudkan (kerajaan perpaduan),” katanya.

Beliau sekali lagi mengulangi pendirian bahawa mandat seharusnya diserahkan kembali kepada rakyat Perak untuk menentukan kerajaan yang sah.

“Kami mengambil maklum bahawa terdapat badan-badan dan individu seperti Suhakam, Majlis Peguam, ahli akademik termasuk beberapa pemimpin BN, Yang Dipertua Dewan Negara, dan pelbagai pihak lain berpandangan bahawa membubarkan DUN Perak dan mengadakan pilihan raya yang baru merupakan cara terbaik untuk mengatasi kemelut di Perak," katanya.

Ketika ditanya apakah matlamat pertemuan itu diadakan kerana Najib telah menegaskan bahawa kuasa untuk membubarkan DUN Perak terserah kepada kuasa Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, Anwar berkata: “Kita akan bagi pandangan kita, kalau dia (Najib) nak bagi pandangan dia kita akan dengar. Kita adakan dulu perjumpaan. Selepas itu kita akan maklumkan kepada anda (wartawan)."

Ditanya adakah apa-apa syarat yang diletakkan untuk mengadakan perbincangan itu, Anwar berkata, syarat tersebut telah dinyatakan dengan jelas sebelum ini.

“Kita adakan perbincangan mengenai isu Perak dan pertemuan dengan Najib untuk memperkukuhkan demokrasi dan institusi kerajaan negeri berdasarkan perlembagaan dan undang-undang, jadi soal lain tidak berbangkit sama sekali,” katanya.

Sementara itu, Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata masa sudah sampai masanya untuk menyelesaikan krisis politik Perak kerana ia melibatkan kestabilan politik Malaysia.

“Ia (krisis politik Perak) telah merosakkan institusi-institusi penting seperti polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Suruhanjaya Pilihan Raya, Badan Kehakiman dan Pegawai Kerajaan yang membuatkan keyakinan orang ramai sudah berkurangan terhadap mereka.

“Sebagai PM Najib harus adakan mesyuarat dan jumpa dengan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat untuk menyelesaikan krisis politik ini. Masalah kerajaan perpaduan tidak timbul. Kami (pemimpin Pakatan Rakyat) tidak pernah cakap apa-apa mengenainya (kerajaan perpaduan),” katanya.

Lim yang juga ahli Parlimen Ipoh Timur berkata keputusan Mahkamah Tinggi yang diputuskan oleh Hakim Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim pada mulanya memberi satu sinar baru kepada bidang kehakiman, namun kurang daripada 24 jam, Mahkamah Rayuan menangguhkan keputusan mengiktiraf Nizar (Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin) sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

"Krisis politik Perak tidak boleh diselesaikan dalam mahkamah dan rakyat perlu diberi kuasa untuk menentukannya. Najib yang memulakan rampasan kuasa di Perak jadi beliau perlu bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku dan mencari jalan penyelesaian dalam isu tersebut.

"Saya rasa semua pemimpin Barisan Nasional (BN) harus bertanggungjawab terhadap krisis politik Perak kerana mereka sebahagian daripada BN. Saya bangga bila ada suara-suara datang daripada pemimpin Umno, Gerakan dan MCA menyokong DUN Perak dibubarkan," katanya.

Tegas Kit Siang, sudah tiba masanya Najib mencari jalan penyelesaian dengan meletakkan kepentingan rakyat melebihi kepentingan politik.

Dalam pada itu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata krisis politik Perak hanya akan dapat diselesaikan dengan kerjasama daripada kedua-dua pihak.

“Mengikut amalan demokrasi, mahkamah rakyat adalah yang paling tinggi. Sekarang sudah ada pandangan daripada semua pihak mahu mengembalikan kuasa memilih kerajaan di Perak diberikan kepada rakyat. Kita lihat ini pandangan majoriti dan jika tidak ia akan berlarutan,” katanya.

Ahad lalu, Anwar berkata, PR tidak pernah menolak ruang untuk berbincang dengan mana-mana pihak termasuk Umno dan BN bagi menyelesaikan kemelut politik di Perak, kata Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Penasihat PJR berkata tidak ada alasan untuk pakatan pembangkang menolak niat baik mana-mana pihak yang mahu mengadakan perbincangan demi kepentingan rakyat.

Pada hari yang sama, Najib ketika berada di Pekan berkata kerajaan BN sedia bekerjasama dengan pihak pembangkang bagi mengatasi kemelut politik di Perak, namun ia bukanlah bermakna bersetuju untuk menubuhkan kerajaan campuran.

Perdana Menteri berkata, kerjasama kedua-dua pihak mestilah menjurus kepada saling hormat-menghormati antara satu sama lain dan mematuhi undang-undang negara.

iklan

Video

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Kolumnis

iklan

Iklan