Harapan baru atasi krisis Perak?

Diterbitkan: Jumaat, 15 Mei 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Krisis politik Perak yang berusia lebih 100 hari menuju harapan baru untuk penyelesaian menerusi rundingan di sebalik siri kes mahkamah dari pelbagai hala?

Sejak minggu lalu, parti-parti politik sudah mula memperlihatkan kesediaan untuk berbincang bagi menamatkan kemelut semasa yang bermula hujung Januari lalu.

Tiga pendapat penting semalam dilihat boleh membuka laluan ke arah itu, sekali gus menamatkan situasi semasa yang digambarkan sebagai "acara musical chair". Tetapi persoalan sama ada ia akan menjadi realiti, sekali gus membuahkan harapan ramai?

NAJIB: BN SEDIA BINCANG

Perdana Menteri Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak mengulangi kesediaan untuk berbincang dengan mengatakan bahawa pilihan raya semula adalah satu daripada opsyen yang ada untuk menyelesaikan kemelut politik di Perak, tetapi ia bukanlah sesuatu yang harus.

Najib yang mengambil alih kepimpinan negara ketika diselubungi krisis politik Perak awal bulan lalu memberitahu, keputusan sama ada untuk mengadakan pilihan raya negeri di Perak bergantung kepada budi bicara Sultan Perak Sultan Azlan Shah.

Malah Najib juga menekankan bahawa Barisan Nasional (BN) tidak gentar untuk menghadapi apa jua kemungkinan termasuk pilihan raya sekiranya itu yang diputuskan.

"Kita sedia berdepan dengan rakyat," kata beliau di Putrajaya semalam.

Krisis politik Perak bermula dengan tindakan lompat-melompat parti pada hujung Januari lalu dan disusuli dengan tumbangnya kerajaan negeri pimpinan Pakatan.

Ia membawa kepada beberapa kes mahkamah termasuk langkah Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mempersoalkan kesahihan status Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar.

PENDIRIAN PAKATAN

Beberapa jam selepas reaksi Najib yang juga Presiden Umno itu, Pakatan Rakyat pula menyatakan kesediaan untuk mengadakan perbincangan dengan BN.

Namun mereka telah menetapkan pendirian bahawa krisis politik Perak perlu dikembalikan kepada rakyat untuk penyelesaian.

Ia diputuskan pada pertemuan khas Pakatan - gabungan Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan PAS itu di Kuala Lumpur.

Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, krisis politik Perak perlu diselesaikan segera dan meminta Sultan membubarkan DUN Perak bagi mengadakan pilihan raya kecil yang adil.

“Pendirian kita jelas krisis politik di Perak hanya boleh diselesaikan dengan mengembalikan kuasa kepada rakyat untuk memilih, dan bukan pihak istana atau mahkamah yang menentukannya.

“Majlis Pimpinan Pakatan mengambil sikap terbuka dan bersedia untuk bertemu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak untuk memperkukuhkan demokrasi dan institusi kerajaan negeri Perak.

"Kita bersedia untuk berjumpa dan kita harap perjumpaan itu akan diadakan secepat mungkin,” kata beliau yang juga Ketua Pembangkang di Parlimen.

Anwar menambah, Pakatan tidak bercadang untuk membincangkan agenda mengenai penubuhan kerajaan campuran di Perak dalam perbicangan bersama Najib.

“Kita mengharapkan kerjasama dalam bentuk menghormati Perlembagaan, kerjasama undang-undang dan menyerahkan kepada rakyat untuk menentukannya,” katanya.

Malah kata beliau, mandat seharusnya diserahkan kembali kepada rakyat Perak untuk menentukan kerajaan yang sah.

“Kami mengambil maklum bahawa terdapat badan-badan dan individu seperti Suhakam, Majlis Peguam, ahli akademik termasuk beberapa pemimpin BN, Yang Dipertua Dewan Negara, dan pelbagai pihak lain berpandangan bahawa membubarkan DUN Perak dan mengadakan pilihan raya yang baru merupakan cara terbaik untuk mengatasi kemelut di Perak," katanya.

Ketika ditanya apakah matlamat pertemuan itu diadakan kerana Najib telah menegaskan bahawa kuasa untuk membubarkan DUN Perak terserah kepada kuasa Sultan Perak, Anwar berkata:

“Kita akan bagi pandangan kita, kalau dia (Najib) nak bagi pandangan dia kita akan dengar. Kita adakan dulu perjumpaan. Selepas itu kita akan maklumkan kepada anda (wartawan)."

Sementara itu, Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, sudah sampai masa untuk menyelesaikan krisis politik Perak kerana ia melibatkan kestabilan politik Malaysia.

Beliau juga memberikan pandangan sedemikian pada 9 Mei lalu yang disambut dengan reaksi Najib dan Anwar.

"Krisis politik Perak tidak boleh diselesaikan dalam mahkamah dan rakyat perlu diberi kuasa untuk menentukannya.

"Najib yang memulakan rampasan kuasa di Perak jadi beliau perlu bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku dan mencari jalan penyelesaian dalam isu tersebut.

"Saya rasa semua pemimpin BN harus bertanggungjawab terhadap krisis politik Perak kerana mereka sebahagian daripada BN. Saya bangga bila ada suara-suara datang daripada pemimpin Umno, Gerakan dan MCA menyokong DUN Perak dibubarkan," kata Lim yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur.

Dalam pada itu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, krisis politik Perak hanya akan dapat diselesaikan dengan kerjasama daripada kedua-dua pihak.

“Mengikut amalan demokrasi, mahkamah rakyat adalah yang paling tinggi. Sekarang sudah ada pandangan daripada semua pihak mahu mengembalikan kuasa memilih kerajaan di Perak diberikan kepada rakyat. Kita lihat ini pandangan majoriti dan jika tidak ia akan berlarutan,”katanya.

Ahad lalu, Anwar berkata, Pakatan tidak pernah menolak ruang untuk berbincang dengan mana-mana pihak termasuk Umno dan BN bagi menyelesaikan kemelut politik di Perak.

Anwar yang juga Penasihat PKR berkata, tidak ada alasan untuk pakatan pembangkang menolak niat baik mana-mana pihak yang mahu mengadakan perbincangan demi kepentingan rakyat.

Pada hari yang sama, Najib ketika berada di Pekan berkata kerajaan BN sedia bekerjasama dengan pihak pembangkang bagi mengatasi kemelut politik di Perak, namun ia bukanlah bermakna bersetuju untuk menubuhkan kerajaan campuran.

Perdana Menteri berkata, kerjasama kedua-dua pihak mestilah menjurus kepada saling hormat-menghormati antara satu sama lain dan mematuhi undang-undang negara.

KOMEN TUN MAHATHIR

Di Cyberjaya, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyarankan supaya BN mengemukakan undi tidak percaya terhadap Nizar jika mempunyai suara majoriti di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.

Beliau berpendapat, BN akan kalah jika DUN dibubarkan untuk memberi laluan bagi pilihan raya baru.

"Kalau nak buat pilihan raya, kita sudah tahu apa kesudahannya... Pakatan akan menang jadi mengapa kita nak adakan pilihan raya?

"Tapi itu hanya pandangan saya, saya tak buat apa-apa kajian... ia hanya pandangan saya selepas melihat perkembangan di Bukit Gantang dan juga cakap-cakap dengan orang," katanya.

Mengulas lanjut mengenai krisis politik kedudukan Menteri Besar di Perak yang masih belum selesai, beliau berkata, isu itu perlu diselesaikan dengan segera kerana ia akan memberi pandangan yang negatif terhadap dunia luar.

"Tak elok bila dunia asyik tengok kita sentiasa bertukar Menteri Besar di Perak. Mula-mula kata anda bukan lagi Menteri Besar.

"Esok pula kata, keputusan itu tak boleh digunapakai lagi, perlu beri masa... ini macam permainan musical chair... ia tak baik," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan