Bakteria Diplococci penyebab meningitis di Melaka

Diterbitkan: Isnin, 11 Mei 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MELAKA: Kementerian Kesihatan telah mengenal pasti bakteria jenis "diplococci" yang menyebabkan jangkitan meningitis kepada pelatih Akedemi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Tiang Dua di sini yang telah menyebabkan satu kematian pada minggu lepas.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata sehingga pukul 2 petang ini, sebanyak 20 pelatih telah dimasukkan ke Hospital Melaka termasuk dua dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 18 ditempatkan di wad pengasingan.

Katanya, enam pesakit baru telah dimasukkan ke Hospital Melaka petang semalam dan satu dimasukkan hari ini. "Bagaimanapun kita yakin keadaan jangkitan bakteria meningitis ini dapat dikawal dengan semua langkah pencegahan dan pemulihan yang dilakukan oleh Hospital Melaka (HM)," katanya kepada pemberita selepas meninjau dan melawat mangsa wabak itu di Hospital Melaka di sini hari ini.

Turut hadir ialah Pengarah Kesihatan Negeri Melaka Dr Ghazali Othman.

Liow berkata jumlah pelatih yang dikuarantin di akademi JPJ seramai 93 orang dan mereka kini diawasi satu pasukan petugas khas tujuh orang yang diketuai oleh seorang doktor untuk langkah segera sekiranya berlaku kecemasan.

Beliau berkata, pelatih yang dikuarantin telah diberi antibiotik pencegahan jenis "ciprofloxacin" manakala mereka yang dirawat di hospital diberi antibiotik jenis "ceftnaxone" untuk rawatan penyembuhan.

"Saya tengok pesakit di wad ICU dan wad pengasingan berada dalam keadaan sihat dan lebih baik, antibiotik yang diberi nampaknya menyembuhkan mereka dan mereka perlu menjalani rawatan selama tujuh hari sebelum tindakan seterusnya," katanya.

Beliau juga berkata, orang ramai terutama penduduk di Tiang Dua tidak perlu panik dengan jangkitan bakteria meningitis kerana ia hanya berjangkit menerusi cara "titisan air" iaitu apabila pesakit itu batuk atau bersin pada jarak satu meter.

"Bakteria meningitis ini tidak akan menjadi satu wabak yang tidak terkawal," katanya mengulas kebimbangan orang ramai.

Katanya, contoh bakteria diplococci itu telah dihantar ke makmal mikro biologi di Sungai Buloh, Selangor untuk dikenal pasti jenisnya kerana bakteria itu terdiri daripada pelbagai jenis.

"Kita juga masih menyiasat punca bakteria itu dengan mengambil sampel di tempat pelatih berkenaan menjalani latihan praktikal iaitu di tiga tempat Pedas (Negeri Sembilan), Muar (Johor) dan Bukit Katil (Melaka).

Katanya, semua pelatih dan staf di JPJ Tiang Dua juga telah diberi antibiotik untuk mengawal wabak itu.

"Saya juga berharap tiada spekulasi jangkitan bateria meningitis ini dikaitkan dengan dengan wabak influenza A (HINI) yang kini semakin meruncing di dunia," katanya.

Beliau juga berkata, sehingga hari ini tiada kes influenza A dikesan di Malaysia. BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 20 Julai 2017 3:30 PM

Luahan Ezlynn Beraya Tanpa Zuriat

Khamis, 20 Julai 2017 12:30 PM

Diana Muntah, Mabuk Teruk - Zamarul

Rabu, 19 Julai 2017 5:00 PM

Sauk Jangan Tak Sauk...

Rabu, 19 Julai 2017 3:27 PM

Beraksi 'Ghairah'? OK Je Kalau...

Rabu, 19 Julai 2017 1:20 PM

Ulat Buku Naik Superbike

Rabu, 19 Julai 2017 1:01 PM

Brader... Itu Pun Nak Curi Ke?

Rabu, 19 Julai 2017 12:27 PM

Aaron Aziz 'Buru' Mak Datin Kaya?

Rabu, 19 Julai 2017 7:00 AM

Shah Rukh Khan Kongsi Tips Mengurat Gadis!

Selasa, 18 Julai 2017 3:00 PM

Waris Ada Kembar?

Kolumnis

iklan

Iklan