MB kesal pembangkang bertindak biadab dalam sidang DUN

Diterbitkan: Jumaat, 8 Mei 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

IPOH: Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir kesal dengan tindakan pihak pembangkang yang bertindak biadab pada sesi persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak semalam.

Mereka menggunakan "undang-undang rimba" serta tidak menghormati peraturan yang ada apabila menimbulkan kekecohan untuk mengganggu perjalanan persidangan.

"Mereka juga gagal menghormati institusi Raja kerana menyebabkan Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah terpaksa menunggu kerana menghalang Speaker Datuk R. Ganesan menjalankan tugasnya dan menjemput baginda untuk merasmikan sidang Dewan.

"Pakatan pembangkang juga gagal meletakkan taraf Dewan sebagai institusi yang mulia kerana menjerit dan mengherdik ketika ia bersidang," katanya kepada pemberita selepas sesi persidangan ditangguhkan.

Zambry juga menjelaskan bahawa walaupun polis tidak dibenarkan memasuki Dewan tetapi Speaker mempunyai hak untuk meminta bantuan polis apabila keadaan di dalam Dewan memerlukan.

Menurut Menteri Besar, Ganesan tidak mempunyai pilihan lain untuk mengawal keamanan di dalam Dewan kecuali dengan meminta sokongan daripada pihak polis untuk membantu Bentara melaksanakan tugasnya.

"Ini termaktub di bawah Perkara 90 Perintah-perintah Tetap yang menyebut semua perkara yang tidak diperuntukkan dengan khususnya dalam perintah-perintah tetap hendaklah diaturkan menurut cara yang tidak berlawanan dengan perintahperintah tetap ini sebagaimana yang diperintahkan oleh Yang Dipertua (Speaker) dari semasa ke semasa," katanya.

Ganesan pada sidang akhbar yang sama berkata bahawa tindakan bekas Speaker V. Sivakumar yang mengarahkan tujuh Anggota DUN dan tiga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas yang menyokong Barisan Nasional (BN) keluar dari Dewan selain tidak mengendahkan arahan Ganesan yang telah dilantik sebagai Speaker adalah penyebab kepada segala masalah dan kekecohan pada persidangan Dewan itu.

Beliau menegaskan bahawa ADUN BN telah menjalankan segala tugas mereka semalam berdasarkan Perintah-perintah Tetap DUN Perak dan pelantikan Ganesan sebagai Speaker juga telah dilaksanakan mengikut peraturanperaturan tetap berkenaan.

Sementara itu bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali yang ditemui di dalam Dewan sebaik persidangan ditangguhkan mempertahankan tindakan pihak polis yang memasuki Dewan untuk mengawal ketenteraman setelah diminta oleh Ganesan selaku Speaker.

Beliau berkata pergaduhan lebih besar pasti akan berlaku antara ADUN BN dan pembangkang sekiranya bantuan pihak polis tidak dimohon oleh Speaker.

"Sebagai orang paling tua dalam Dewan saya cubalah kawal tetapi nampaknya wakil rakyat pembangkang menyeberang juga ke kawasan ADUN BN. Sepatutnya mereka tidak boleh bertindak begitu," katanya.

Beliau berkata tindakan Sivakumar yang cuba menafikan hak tujuh Adun BN dan tiga Adun Bebas untuk menyertai persidangan Dewan yang telah menimbulkan kekecohan pada persidangan Dewan.

"Sepatutnya mana-mana pihak yang ada majoriti merekalah yang menguasai Dewan dan merekalah yang menguasai kerajaan," katanya.

Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata semua ADUN pakatan pembangkang tidak mengiktiraf persidangan DUN itu dan menyifatkannya sebagai tidak sah.

"Kita telah berkumpul di dalam DUN tetapi pada hakikatnya tiada persidangan dilaksanakan kerana Speaker (Sivakumar) tidak melakukan pembukaan dan tidak berniat demikian kerana arahan dan perintahnya tidak dipatuhi.

"Jadi kami menyatakan bahawa DUN ini tidak ada persidangan, ia sekadar kami menghormati Pemangku Raja Perak apabila baginda memberi titah," katanya kepada pemberita. Beliau juga berkata kesemua 28 ADUN pakatan pembangkang juga masih menganggap Sivakumar sebagai Speaker yang sah yang dipilih oleh rakyat.

Mohammad Nizar juga menyifatkan titah Raja Nazrin pada semalam bukan satu titah perasmian mesyuarat DUN.

Tetapi dakwaan beliau ini jelas bercanggah dengan lafaz Raja Nazrin pada akhir titah baginda apabila baginda menyebut "Dengan lafaz Bismillahi Rahmani Rahim, Beta merasmikan Mesyuarat Pertama, Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri Perak Darul Ridzuan yang Kedua Belas".

Mohammad Nizar turut berkata pihaknya akan berbincang dengan para peguam mereka sebelum mengambil langkah seterusnya selain cuba memohon mengadap Sultan Perak dalam masa terdekat untuk pembubaran DUN. BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 17 Ogos 2017 3:02 PM

Seksi? Urusan Saya Dengan Tuhan - Zizi Kirana

Khamis, 17 Ogos 2017 12:30 PM

Erma Reda, Jatuh Talak Satu

Khamis, 17 Ogos 2017 9:00 AM

Wak Doyok Kini Bintang Filem

Rabu, 16 Ogos 2017 3:59 PM

Bahaya Tu Abang Oii...

Rabu, 16 Ogos 2017 12:30 PM

“Senyum Je Pada Haters” - Farisha Irish

Selasa, 15 Ogos 2017 3:28 PM

Raysha Rizrose Pemalu, Bukan Sombong!

Selasa, 15 Ogos 2017 11:59 AM

Keluarga 'Control' Hidup Neera Azizi?

Selasa, 15 Ogos 2017 9:00 AM

Abang Long Fadil 2 Telan Belanja RM 3.2 Juta

Kolumnis

iklan

Iklan