Hindraf: "PM, kami gembira rayuan, suara diterima"

Diterbitkan: Jumaat, 8 Mei 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pemimpin Hindraf, pertubuhan yang diharamkan tahun lalu, turut menyambut baik dan gembira dengan tindakan kerajaan membebaskan baki tiga pemimpin masih ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

"Kami gembira kerana kerajaan akhirnya mendengar suara dan rayuan kami," kata bekas penyelaras kebangsaannya, R.S. Thanendhiran ketika dihubungi mStar Online.

Beliau yang mengetuai biro politiknya memberitahu, pihaknya juga gembira kerana Perdana Menteri Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak telah membebaskan kesemua pemimpin Hindraf dan lebih dua dozen tahanan dari Kamunting sejak awal April lalu.

Beliau mengulas keputusan Kementerian Dalam Negeri untuk membebaskan 13 tahanan ISA termasuk tiga pemimpin Hindraf, P. Uthayakumar, M. Manoharan dan K.V asantha.

Mereka akan dibebaskan dalam tempoh terdekat, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. Tahanan yang lain terdiri Zulkepli Marzuki, Jeknal Adil, Admi Pindatun selain dua tahanan warga negara Indonesia, Zainun Rasyid dan Aboud Ghafar Shahril, dan lima tahanan warga negara Filipina, terdiri Sufian Salih, Hasim Talib, Abdul Jamal Azahari, Yusof Mohd Salam dan Husin Alih.

"Pembebasan kesemua tahanan rakyat tempatan akan dibuat dalam tempoh dua tiga hari lagi sebaik semua proses dokumentasi selesai dan tahanan warga asing pula akan dibebaskan selepas kita mengatur dan mengambil tindakan pengusiran dengan pihak Manila dan Jakarta," katanya.

Pembebasan mereka adalah yang kedua yang dibuat oleh kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pada 3 April lepas, sebaik saja mengambil alih jawatan Perdana Menteri, Najib mengumumkan pembebasan 13 tahanan selain mahu agar akta itu dikaji semula.

Sehubungan itu Thanendhiran berkata, selaku Perdana Menteri yang baru Najib harus diberikan peluang untuk membawa dan melaksanakan pembaharuan.

"Kita sudah boleh nampak perubahan. Saya merasakan kita harus membenar dan memberikan peluang bagi Perdana Menteri untuk melakukan perubahan dan mengambil langkah-langkah sesuai untuk membawa kemajuan," katanya lagi.

Justeru beliau berkata, pihaknya yakin Perdana Menteri akan turut memenuhi 18 perkara yang dituntut oleh Hindraf sejak tahun 2007.

iklan

Video

Isnin, 23 Oktober 2017 1:31 PM

Tragedi Tanah Runtuh: Semua Mayat Dijumpai

Isnin, 23 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Aizat Amdan Tak Lupa Dua Benda Ini!

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Kolumnis

iklan

Iklan