Sidang belum dirasmi, mahkamah juga penentu status?

Diterbitkan: Khamis, 7 Mei 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

ADUN Pakatan dan BN saling menolak antara satu sama lain pada sidang DUN Perak di Ipoh, hari ini --foto THE STAR oleh SAIFUL BAHRI
ADUN Pakatan dan BN saling menolak antara satu sama lain pada sidang DUN Perak di Ipoh, hari ini --foto THE STAR oleh SAIFUL BAHRI

IPOH: Status Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang masih belum dirasmikan sehingga 2 petang ini kemungkinan akan ditentukan oleh mahkamah kelak.

Perkembangan hari ini memperlihatkan krisis politik yang tercetus awal Februari lalu akan berlarutan.

Ketua Penerangan Kerajaan Negeri Perak Barisan Nasional (BN), Datuk Hamdi Abu Bakar berkata, beliau percaya akan ada pihak yang akan membawa isu berkenaan ke mahkamah berdasarkan perkembangan hari ini.

"Mahkamah akan menjadi penentu. Saya fikir berdasarkan apa yang telah berlaku selama ini, isu lantikan telah dibawa ke mahkamah, soal SPR dibawa ke mahkamah, saya pasti akan ada pihak yang akan membawa isu hari ini ke mahkamah," kata beliau.

Beliau ditemui di waktu rehat sidang DUN. Ia ditangguhkan oleh Speaker yang dilantik oleh BN iaitu Datuk R Ganesan.

Selain pelantikan Ganesan, BN turut meluluskan tiga lagi usul dalam 'sidang' yang diadakan dalam sidang DUN hari ini.

DUN yang sepatutnya dirasmikan oleh Raja Muda Perak pada pukul 10 pagi tadi masih belum dirasmikan dengan anggota Dewan bertikam lidah sehingga mencetuskan kekecohan.

Speaker V. Sivakumar yang memasuki DUN pada pukul 10 pagi mengumumkan beberapa ketetapan mesyuarat sebelum sidang dirasmikan Raja Nazrin.

Antara ketetapan itu ialah memecat Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dan enam exconya yang telah digantug dari memasuki DUN.

Turut digantung ialah tiga ADUN Bebas yang telah keluar parti masingI-masing dan dikatakan telah meletakkan jawatan.

Katanya ia selaras dengan ketetapan sidang bawah pokok 3 Mac lalu.

Di sebalik kekecohan itu anggota BN pula mengadakan sidang mereka dengan meluluskan usul memecat Sivakumar dan digantikan dengan wakil BN.

Wakil BN itu, Ganesan dilantik sebagai Speaker dan mengenakan jubah Speaker dan mengangkat sumpah.

Beberapa kemudian 'pengerusikan' sidang DUN dengan meluluskan usul membatalkan ketetapan sidang 3 Mac.

Selepas kecoh lebih hampir 70 minit suasana Dewan tenang mulai 11.16 pagi.

Bagaimanapun SIvakumar berkata, beliau tidak akan membenarkan sidang diteruskan selagi 10 anggota terbabit keluar Dewan.

Sivakumar mengarahkan 10 ADUN termasuk Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir keluar dari Dewan.Sembilan lagi yang diarahkan keluar adalah enam ADUN yang juga Exco negeri iaitu Datuk Ramly Zahari (Manong), Datuk Saarani Mohamad (Kota Tampan), Hamidah Osman (Sungai Rapat), Zainol Fadzi Paharuddin (Sungai Manik), Mohd Zahir Abdul Khalid (Kamunting) dan Datuk Dr Mah Hang Soon (Chenderiang).

Sementara tiga lagi adalah ADUN Bebas iaitu Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang), Kpt (B) Mohd Osman Jailu (Changkat Jering) dan Hee Yit Foong.

Sivakumar berulang kali menyatakan bahawa beliau tidak akan memulakan sidang selagi 10 ADUN tersebut tidak meninggalkan Dewan.

Setakat 11.50 pagi, sementara Raja Nazrin masih menanti di Kamar Diraja suasana DUN masih kelihatan tenang.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan