PERKEMBANGAN SIDANG DUN PERAK

Diterbitkan: Khamis, 7 Mei 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BERIKUT adalah perkembangan terkini persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak:

5.10 petang: Naib Presiden PAS Mohamad Sabu yang ditahan polis petang semalam kerana didakwa merancang gerakan memprotes sidang DUN Perak telah dibebaskan petang ini dengan jaminan polis satu bulan, kata Ketua Polis Perak Datuk Zulkifli Abdullah.

5 petang: Pada sidang media, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata Speaker V. Sivakumar tidak mempedulikan hakikat bahawa BN mempunyai majoriti dalam DUN dan bertindak "liar".

4.30 petang: Pakatan Rakyat dengan diketuai bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menegaskan sidang DUN hari ini tidak sah dan V. Sivakumar masih Speaker.

4.10 petang: Ganesan ketika ditemui wartawan berkata, jika ada pihak yang mahu mencabar kesahihan sidang barisan pegumannya akan meneliti perkara itu.

4.08 petang: Speaker Sivakumar muncul di dalam Dewan selepas berakhirnya titah diraja oleh Raja Nazrin.

4petang: Speaker lantikan BN, Ganesan mengumumkan sidang DUN ditangguhkan sehingga ke satu tarikh yang akan ditentukan kelak.

3.20 petang: Raja Nazrin Sultan Azlan Shah menyampaikan titah ucapan diraja.

3.17 petang: Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan Datuk Ngeh Khoo Ham menghadap Raja Nazrin Sultan Azlan Shah sebelum baginda mula menyampaikan titah diraja perasmian sidang DUN. Mohammad Nizar menyatakan sesuatu kepada Raja Nazrin.

3.15 petang: Pengarah Strategik PKR Tian Chua ditahan polis di luar bangunan SUK

3.05 petang: Dua anggota DUN Pakatan dari Teja dan Simpang Pulai diperintah keluar oleh Ganesan.

2.55 petang: Speaker 'lantikan' BN, Ganesan mengambil alih tempat duduk Speaker untuk memulakan sidang DUN.

2.40 petang: Speaker V Sivakumar diangkut keluar oleh sepasukan polis dari Dewan.

2.15 petang: Anggota Pakatan terus desak Ganesan keluar DUN sambil menjerit "keluar" dan "bubarkan, bubarkan".

2.07 petang: Suasana DUN kecoh semula dan wujud pergelutan antara anggota BN dan Pakatan ketika Speaker 'lantikan' BN cuba mengambil kedudukan di tempat wakil rakyat BN dan mempengerusikan sidang DUN.

1.05 tengah hari: Speaker lantikan BN, Ganesan menangguhkan sidang DUN selama sejam. Sebahagian ADUN BN telah keluar Dewan manakala dua pertiga ADUN masih di dalam Dewan. Speaker Sivakumar pula masih tidak berganjak dari tempat duduknya.

12.30 tengah hari: Berlaku pergelutan antara ADUN Pakatan dan BN apabila wakil rakyat Pakatan meminta Ganesan keluar dari Dewan.

12.22 tengah hari: Seorang awam yang menggunakan payung dengan simbol PAS ditahan di luar bangunan DAP.

12.20 tengah hari: Speaker Sivakumar masih tidak berganjak dari tempat duduknya sejak pukul 10 pagi.

12.20 tengah hari: Dewan kecoh semula apabila 'Speaker baru', Ganesan cuba mengambil alih tempat Bentara untuk menjalankan tugas sebagai Speaker. Belaiu dihalang oleh beberapa ADUN Pakatan Rakyat.

11.25 pagi: Sidang DUN kecoh semula selepas 10 minit apabila Sivakumar mengarahkan 10 ADUN keluar Dewan.

11.16 pagi: Suasana dalam Dewan tiba-tiba tenang selepas kedua-diua pihak mengadakan 'sidang' masing-masing. Pihak BN berkata, sidang ditangguhkan selama sejam.

10.58 pagi: Kasut dilemparkan ke arah ADUN BN yang sedang mengadakan 'sidang' mereka sendiri di dalam Dewan.

10.56 pagi: Ganesan dikurniakan jubah dan 'mengangkat sumpah' sebagai Speaker baru.

10.51 pagi: Kumpulan ADUN BN 'melantik' Datuk R Ganesan sebagai Speaker baru menggantikan Sivakumar walaupun sidang masih belum dirasmikan oleh Raja Muda Perak.

10.30 pagi: 10 ADUN tetap bertegas enggan keluar dari Dewan.

10.20 pagi: Dr Zambry membuat usul untuk memecat Sivakumar dari jawatan Speaker DUN.

10.05 pagi: Sivakumar mengarahkan 10 ADUN iaitu Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, enam Exco dan tiga ADUN Bebas keluar dari Dewan.

10 pagi: Speaker DUN, V Sivakumar masuk ke dalam Dewan dan membuat tiga ketetapan.

9.50 pagi: Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub ditahan polis.

9.45 pagi: Pihak polis menghalang orang ramai berteduh di bawah 'Pokok Demokrasi'.

9.45 pagi: Anggota DUN, tetamu khas dan wartawan dibenarkan masuk ke Dewan dengan kawalan ketat termasuk menggunakan mesin pengimbas.

9.35 pagi: Beberapa individu lagi ditahan di kawasan sekitar bangunan SUK. Ahli Parlimen Ipoh Timur dan Ipoh Barat iaitu Lim Kit Siang dan M Kulasegaran dihalang memasuki kawasan tersebut.

9.30 pagi: Raja Nazrin Sultan Azlan Shah tiba di pekarangan bangunan SUK dan memeriksa barisan kehormat.

9.25 pagi: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir tiba di pekarangan bangunan SUK dan menerima tabik hormat dengan diiringi Speaker DUN, V Sivakumar dan Setiausaha DUN, Abdullah Antong Sabri.

9.20 pagi: Speaker DUN Perak, V Sivakumar tiba di pekarangan bangunan SUK dan menerima tabik hormat dengan diiringi Setiausaha DUN, Abdullah Antong Sabri.

9.05 pagi: Seramai 11 individu yang ditahan kerana menimbulkan kekecohan dibawa keluar dari kawasan bangunan SUK menggunakan trak polis.

8.50 pagi: Ahli Parlimen Ampang dari PKR, Zuraida Kamaruddin dan ADUN Teratai dari DAP, Jenice Lee adalah antara 11 individu yang ditahan polis kerana menimbulkan kekecohan menjelang perasmian sidang DUN Perak.

8.45 pagi: Pembantu khas kepada ahli Parlimen Ipoh Barat dari DAP, P Sugumara ditahan polis di pekarangan bangunan SUK.

8.25 pagi: Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin memasuki kawasan bangunan SUK, diikuti beberapa ADUN daripada Pakatan Rakyat.

8.15 pagi: Tiga individu yang memakai kemeja T tertera mesej 'Kembalikan Hak Rakyat' ditahan pihak polis.

7.30 pagi: Kakitangan bangunan SUK mula memasuki pejabat masing-masing.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan