Penanti: Biro Politik Umno bertemu

Diterbitkan: Isnin, 4 Mei 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Biro Politik Umno selesai mengadakan mesyuarat bagi menentukan kedudukan sama ada parti itu akan meletakkan calonnya bertanding pada pilihan raya kecil kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti 31 Mei ini.

Mesyuarat yang berlangsung kira-kira sejam itu dipengerusikan oleh Presiden parti, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak di Pejabat Perdana Menteri tengah hari tadi.

Ketua Penerangan Umno, Ahmad Maslan ketika dihubungi bagaimanapun berkata Najib yang juga Pengerusi Biro Politik akan membuat kenyataan media berhubung hasil keputusan mesyuarat tersebut.

"Datuk Seri Najib akan umumkannya...Presiden akan umumkan sendiri, kita sebagai ahli tak boleh cakap apa-apa.

"Presiden akan ke Sabah, mungkin beliau akan buat kenyataan di sana nanti," katanya kepada mStar Online.

Perdana Menteri dijadual akan menghadiri jamuan makan malam bersama pemimpin Barisan Nasional Sabah (BN) di Kota Kinabalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh penamaan calon bagi kerusi DUN Penanti ialah 23 Mei ini dan jika ada pertandingan, hari pengundian akan diadakan pada 31 Mei.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan penyandangnya, Mohammad Fairus Khairuddin dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) meletakkan jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti 16 April lalu.

Pada Selasa lalu, PKR memilih Timbalan Pengerusi Perhubungan PKR Negeri Pulau Pinang, Mansor Othman sebagai calon parti itu untuk merebut kerusi DUN Penanti.

Selain PKR, calon Bebas, Aminah Abdullah yang juga bekas Ketua Wanita PKR Pulau Pinang turut menyatakan hasrat untuk bertanding.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan