Rasa gembira bertukar pilu bagi keluarga Mejar Shafie

Diterbitkan: Sabtu, 2 Mei 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Rancangan Mejar Mohd Shafie Mahat untuk membawa keluarganya bercuti di Pulau Tioman setelah kembali ke tanah air tidak terkabul setelah beliau meninggal dunia secara mengejut pada Khamis, iaitu hari terakhir beliau berkhidmat dengan Misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Monuc di Congo.

Isteri Allahyarham, Siti Zaharah Omar, 50, berkata suaminya yang telah berkhidmat di Congo sejak 1 Mei tahun lepas pernah menjanjikan untuk membawa mereka sekeluarga bercuti selepas kembali ke tanah air.

"Hari Raya Aidilfitri yang lalu merupakan detik dan kenangan terakhir kami sekeluarga berjumpa dan selepas itu kami hanya berkesempatan berhubung melalui telefon dan internet sahaja.

"Pada 26 April lalu merupakan kali terakhir kami berbual di telefon dan emel pula pada 29 April," katanya ketika dihubungi di kediaman beliau di Bandar Kinrara Puchong, dekat sini hari ini.

Menerusi perbualan telefon Ahad lalu, Allahyarham juga sempat berpesan kepadanya agar beliau jangan lupa untuk menjemputnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 9.30 malam esok.

Mohd Shafie, 50, yang berkhidmat sebagai Pegawai Terminal Udara di Markas Monuc meninggal dunia setelah terjatuh ketika sedang berbual melalui telefon dengan seorang pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Lef Kol Mohamad Sediqi Abdul Wahid di Kinshasha, Congo.

Jenazah Allahyarham dijadual tiba di tanah air pada Isnin depan.

Zaharah berkata, berita kematian suaminya dimaklumkan kepada beliau oleh sekumpulan pegawai TUDM yang berkunjung ke rumahnya di Bandar Kinrara Puchong semalam.

Katanya, pada mulanya beliau tidak percaya berita tersebut, tetapi terpaksa menerima kenyataan setelah mengesahkannya dengan pihak Wisma Putra.

Beliau juga menyifatkan Allahyarham sebagai seorang suami dan bapa yang begitu penyayang namun bersikap tegas serta amat menitik beratkan tentang pendidikan bagi memastikan keenam-enam anak mereka tidak tercicir dan berjaya dalam pelajaran.

Beliau berkata dalam membahagikan kasih sayang, Allahyarham tidak pernah pilih kasih dan memberikan kasih sayang yang sama rata terhadap kesemua anak mereka tetapi dengan ketiadaan Allahyarham, mereka tentu akan berasa rindu dan kehilangan yang teramat.

"Anak-anak kami yang masih kecil belum cukup faham tentang apa yang berlaku ke atas bapa mereka manakala yang sudah remaja hanya mampu menerima dengan redha.

"Anak bongsu kami Siti Zarith Sofea, 9, sendiri pada setiap hari akan menanda tarikh pada kalendar kerana tidak sabar menunggu bapanya pulang dan memeluknya yang sepatutnya pulang esok.

"Tetapi kini kami hanya akan dapat menyambut jenazahnya pada Isnin depan," kata Siti Zaharah. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan