Lebih 200,000 peluang pekerjaan diwujudkan tahun ini

Diterbitkan: Sabtu, 2 Mei 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia telah mengenal pasti sebanyak 209,675 peluang pekerjaan yang berpotensi pada tahun ini untuk diisi oleh rakyat tempatan, kata Menterinya Datuk Dr S. Subramaniam hari ini.

Beliau berkata, kekosongan tersebut adalah di sektor pembuatan, perkhidmatan, perladangan, pertanian dan pembinaan.

"Kami berharap akan dapat mengurangkan kebergantungan negara kepada pekerja asing, di samping majikan terus mengutamakan pengambilan pekerja tempatan," katanya pada majlis sambutan Hari Pekerja 2009 yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Stadium Putra Bukit Jalil di sini.

Dari 1 Oktober 2008 hingga 30 April tahun ini, seramai 17,436 pekerja tempatan telah diberhentikan secara tetap, manakala 7,418 lagi diberhentikan kerja secara sukarela (VSS).

"Majoriti daripada pekerja-pekerja yang diberhentikan adalah dari subsektor elektrik dan elektronik, tekstil dan pakaian serta sektor perkhidmatan," katanya.

Beliau berkata, dengan komitmen dan usaha yang berterusan daripada pihak kementeriannya, sehingga 30 April lalu, seramai 7,285 orang daripada pekerja yang diberhentikan kerja telah berjaya ditempatkan semula.

Kerajaan, katanya, menggalakkan para majikan agar mengambil pekerja yang diberhentikan dengan memberikan beberapa insentif percukaian.

"Kementerian Sumber Manusia bersedia untuk memberi latihan bagi bidang kemahiran yang diperlukan oleh industri, termasuk pemberian elaun kepada pelatih terbabit," katanya.

Dr. Subramaniam juga berkata majikan hendaklah mengambil langkahlangkah yang sesuai untuk menarik minat rakyat tempatan bekerja seperti membuat penyesuaian masa bekerja dan menawarkan kadar gaji yang bersesuaian dengan kerja yang dijalankan.

Katanya, antara langkah awal kementeriannya dalam menangani isu pemberhentian pekerja, adalah pewujudan Jawatankuasa Tripartite Pemantauan Pemberhentian Pekerja di peringkat kebangsaan dan negeri yang bermesyuarat setiap bulan untuk memantau dan mencadangkan langkahlangkah bagi mengatasi impak krisis ekonomi terutamanya terhadap pekerja yang diberhentikan.

Selain itu, kementeriannya juga telah memperluaskan liputan khidmat portal 'JobsMalaysia' kepada sektor awam.

"Sejak dilaksanakan mulai Mei 2008 sehingga 26 April 2009, sebanyak 306 majikan dari pelbagai agensi kerajaan telah menggunakan portal JobsMalaysia untuk mencari calon pekerja," katanya. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan