DUN Penanti: Pusat larang, PAS Permatang Pauh tetap mahu tanding

Diterbitkan: Jumaat, 1 Mei 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: PAS Permatang Pauh tetap dengan pendirian mahu meletakkan calonnya bertanding dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti walaupun hasrat tersebut terus ditolak oleh kepimpinan pusat parti itu.

Yang Dipertua PAS Permatang Pauh, Omar Hassan berkata, sehingga kini pendirian PAS Permatang Pauh kekal memandangkan hasrat pihaknya turut mendapat 'lampu hijau' daripada PAS Pulau Pinang.

"Kita tetap dengan pendirian untuk bertanding, pendirian kita jelas kerana matlamat kita bukan untuk kepentingan peribadi ataupun PAS semata-mata, sebaliknya juga untuk kepentingan Pakatan Rakyat," katanya.

Pilihan raya kecil DUN Penanti diadakan berikutan penyandangnya, Mohammad Fairus Khairuddin dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) meletakkan jawatan 16 April lalu.

Malah PKR juga telah mengumumkan calon mereka untuk bertanding di Penanti iaitu Timbalan Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang, Mansor Othman, 56.

Selain PKR, calon bebas, Aminah Abdullah, 56, bekas Ketua Wanita PKR Pulau Pinang, turut menyatakan hasrat untuk bertanding.

Barisan Nasional (BN) dijangka mengumumkan sama ada bertanding ataupun sebaliknya minggu depan.

Mengenai larangan daripada kepimpinan PAS Pusat agar memberi laluan kepada PKR untuk bertanding di Penanti, Omar berkata, matlamat utama pihaknya menyuarakan hasrat tersebut adalah demi kepentingan pengundi Permatang Pauh.

"PAS Permatang Pauh merasakan adalah menjadi tanggungjawab kami untuk membela nasib penduduk di kawasan ini.

"Nampaknya wakil rakyat daripada PKR sebelum ini tidak boleh membela nasib rakyat... jadi atas rasa tanggungjawab kami menawarkan diri.

"Kami sedar pimpinan pusat melarang untuk PAS bertanding, tapi Insya-Allah selagi penamaan calon masih belum diadakan, ruang perbincangan masih ada antara kami," katanya.

PENDIRIAN PEMUDA

Selain pendirian PAS Permatang Pauh, sebelum ini Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang, Mohd. Hafiz Mohd Nordin berkata, Pemuda PAS mahu PKR memberikan kerusi itu kepada PAS bertanding memandangkan prestasi Fairus sebelum ini tidak memuaskan.

Ditanya mengenai persefahaman Pakatan Rakyat sebelum ini bahawa calon yang akan bertanding dalam mana-mana pilihan raya kecil mestilah daripada parti yang pernah bertanding pilihan raya umum terdahulu, beliau berkata, aspek tersebut perlu dilihat dari sudut prestasi semasa.

"Jika kerusi berkenaan dikosongkan kerana sebab-sebab yang munasabah seperti kematian, kita pasti akan hormati perjanjian itu dan kita tidak akan minta untuk bertanding.

"Tapi cara kerusi itu dikosongkan amat tidak munasabah kerana penyandang sebelum ini menghadapi masalah peribadi dan masalah dalaman parti.

"Kita juga mahukan seorang wakil rakyat yang bukan sekadar pemimpin kerana hanya wakil rakyat sebenar, yang mempunyai ciri-ciri kepimpinan memahami masalah rakyat," kata Omar.

"Walaupun kami dalam satu pakatan, tapi jika wujud sesuatu yang tidak kena, kami harus tegur dan betulkan," tambah beliau.

Omar menjelaskan, PAS Permatang Pauh sebelum ini tidak pernah bersuara bagi menentukan pembahagian kerusi DUN yang berada dalam kawasan Parlimen Permatang Pauh.

Bahagian Parlimen Permatang Pauh terdiri daripada DUN Permatang Pasir, Penanti dan Seberang Jaya.

Daripada tiga kerusi berkenaan, hanya satu dimiliki PAS iaitu di Permatang Pasir.

TIDAK SETUJU CALON PKR

Mengulas mengenai calon PKR yang juga bekas Setiausaha Politik kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri, Omar berkata, pemilihan calon berkenaan tidak memuaskan hati penduduk tempatan.

"Kita mahu penduduk tempatan yang tinggal di kawasan ini menjadi wakil rakyat, bukan orang luar yang belum memahami kehendak rakyat di sini.

"Beliau orang pulau... bukan orang Penanti, susahlah kalau ADUN tinggal di sebelah pulau dan Ahli Parlimen (Datuk Seri Anwar Ibrahim) tinggal di Kuala Lumpur.

"Macam mana nak jadi wakil rakyat kalau wakil itu tidak bersama rakyat," katanya.

PENDIRIAN PUSAT

Dalam pada itu, Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Mustafa Ali yang dipetik Bernama berkata, PAS pusat menolak hasrat Pemuda PAS Pulau Pinang supaya PAS meletak calon untuk bertanding di Penanti.

"Ini kerana PAS tertakluk kepada perjanjian yang telah dipersetujui dalam Pakatan Rakyat.

"Semua parti dalam Pakatan telah bersetuju, jika berlaku pilihan raya kecil, calon yang bertanding mestilah daripada parti yang bertanding pada pilihan raya umum sebelum itu," katanya.

Malah, Mustafa juga menyatakan demikian ketika dihubungi mStar Online dua hari lalu.

Pilihan raya kecil Penanti ditetapkan pada 31 Mei ini sementara penamaan calon pada 23 Mei.

iklan

Video

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Kolumnis

iklan

Iklan