Tatacara urusan jabatan kerajaan disemak semula - Tee Keat - Berita Semasa | mStar

Tatacara urusan jabatan kerajaan disemak semula - Tee Keat

Diterbitkan: Khamis, 30 April 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JOHOR BAHARU: Tatacara urusan pentadbiran yang leceh di pelbagai jabatan kerajaan dan menyusahkan rakyat akan disemak semula, kata Menteri Pengangkutan Datuk seri Ong Tee Keat hari ini.

Berjanji memulakan perubahan dalam kementeriannya, Ong, yang juga Presiden MCA berkata, semua kementerian di bawah pimpinan Menteri dari parti itu telah diarah supaya melaksanakan perubahan yang sama.

Kementerian di bawah Menteri dari MCA ialah Pengangkutan, Kesihatan, Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Kementerian Pelancongan.

"Di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), saya telah menubuhkan panel khas bagi menyemak semula beberapa amalan yang diguna pakai sekarang yang tidak mesra pelanggan.

"Saya berjanji kajian itu dijalankan secara menyeluruh bagi melihat bagaimana kita dapat memperbaiki keberkesanan dalam memberi perkhidmatan kepada orang awam," katanya pada perasmian Ekspo Kewangan Mikro, Pusat Sumber ICT MCA di sini.

Sebahagian daripada semakan semula amalan JPJ ialah kaedah ujian memandu, katanya.

Dalam perkembangan lain, Ong berkata laporan audit projek pembangunan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) yang dijalankan oleh firma audit antarabangsa, PriceWaterhouse Coopers telah selesai dan sedia untuk diumumkan.

"Tidak ada apa-apa untuk disembunyikan dan tidak ada campur tangan dalam mengumpul laporan itu.

"Laporan tersebut setebal buku panduan telefon, jika tidak lebih tebal lagi, akan dikemukakan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jawatankuasa KiraKira Wang Negara (PAC)," katanya. BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan