MB Selangor nafi ADUN Kota Alam Shah letak jawatan

Diterbitkan: Khamis, 30 April 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyifatkan sebagai hanya satu spekulasi laporan sebuah laman web berita hari ini kononnya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor kawasan Kota Alam Shah, M. Manoharan, yang kini ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), sedang menimbang untuk melepaskan kerusi itu.

Beliau berkata isu itu timbul mungkin disebabkan bertambahnya bebanan tugas bagi setiap ADUN, termasuk kepada isteri Manoharan, S. Pushpaneela yang terpaksa menjadi wakil kepada suaminya.

"Tekanan dari permintaan untuk meningkatkan mutu perkhidmatan di setiap pusat perkhidmatan ADUN semakin bertambah tetapi isteri Manoharan telah mendapatkan beberapa pekerja untuk membantunya," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri di sini hari ini.

Laman web berkenaan memetik sumber sebagai berkata Manoharan sedang menimbang untuk mengosongkan kerusi itu kerana kecewa tidak dapat memberi khidmat kepada pengundinya selain menyedari beban yang ditanggung isterinya kerana terpaksa membahagikan masa antara menjaga empat anak mereka dan menjaga firma guamannya serta kawasan pilihan raya itu.

Manoharan, penasihat undang-undang Hindraf, satu kumpulan yang diharamkan oleh kerajaan, ditahan pada 13 Disember 2007 bersama empat lagi pemimpin kumpulan itu. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan