BN mesti penuhi janji kepada pengundi Batang Ai - Muhyiddin

Diterbitkan: Khamis, 30 April 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUCHING: Barisan Nasional (BN) mesti menunaikan janji dan tanggungjawab yang telah dibuatnya kepada rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri Batang Ai, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata BN tidak boleh melupai keputusan penting yang dilakukan oleh pengundi di Batang Ai pada pilihan raya kecil kawasan itu pada 7 April lalu, yang memberi kemenangan kepada BN.

Pada pilihan raya itu, BN mengekalkan kerusi di Batang Ai apabila calonnya Malcolm Mussen Lamoh dari Parti Rakyat Sarawak (PRs) menewaskan bekas Anggota Parlimen Lubok Antu, Jawah Gerang dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), dengan majoriti 1,854 undi.

Muhyiddin berkata beliau akan membawa perkara tersebut kepada perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai cara paling baik untuk membantu penduduk Batang Ai, bagi meningkatkan taraf hidup mereka seperti menerusi potensi ekopelancongan, tarikan hidupan liar, kraftangan dan budaya masyarakat Iban.

"Potensinya ada. Apa yang perlu dilakukan ialah mengadakan perancangan yang teratur, kewujudan sumber dan sudah tentu kemahuan politik," katanya pada majlis makan malam bagi meraikan kemenangan BN di Batang Ai, di Kelab Sarawak di sini.

Muhyiddin berkata Najib telah meluluskan peruntukan RM1.5 juta untuk projek pembangunan di 150 buah Rumah Panjang di Batang Ai.

Dalam menyampaikan ucapan tahniah Najib kepada BN Sarawak terutama PRS dan Mussen, beliau berkata hasil keputusan pilihan raya di Batang Ai membuktikan bahawa rakyat Sarawak masih mempunyai keyakinan kepada BN.

"Semasa saya melawat dua buah Rumah Panjang yang disenarai sebagai kawasan hitam atau kubu kuat pembangkang, saya melihat penduduknya sangat mesra. Mereka menyambut saya dengan tangan terbuka malah melakukan upacara "miring". Ini saya percaya merupakan petunjuk penting bahawa mereka gembira, bukan sahaja untuk menyambut saya tetapi dalam menerima kepimpinan BN," katanya.

Muhyiddin yang ketika itu menjawat jawatan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata beliau bercakap mengenai polisi baru yang perdana menteri mahu laksanakan serta minat dan keprihatinan perdana menteri dalam meningkatkan taraf hidup rakyat Malaysia dari segi pembangunan infrastruktur, pendidikan dan ekonomi.

"Saya rasa kata-kata ini telah menarik perhatian rakyat yang walaupun menjalani kehidupan mudah, tetapi sangat bijak dan sebab itulah mereka memilih BN," katanya menceritakan semula pengalamannya semasa berkempan di Batang Ai yang mempunyai 8,006 pengundi berdaftar.

Beliau berkata beliau pernah melintasi dengan kapal terbang kawasan Batang Ai pada 1985 sebagai Setiausaha Pemuda BN.

Muhyiddin mencadangkan pembinaan landasan kapal terbang kecil di Batang Ai bagi memudahkan ia dihubungi terutama oleh para pelancong.

Dalam ucapannya, Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Dr George Chan Hong Nam berkata Sarawak masih mengharapkan kesinambungan pembangunan pendidikan di kawasan luar bandarnya.

Beliau berkata rakyat berharap Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran dapat meningkatkan taraf pendidikan di Sarawak terutama dari segi prasarana asas seperti bangunan sekolah, kediaman guru dan asrama pelajar.

"Misalnya kita masih mempunyai sekolah di kawasan pedalaman dan di ulu-ulu sungai dan pesisir pantai yang bergantung kepada generator kecil untuk menjana elektrik, air hujan untuk bekalan air.

"Terdapat sekolah kita yang belum dibekalkan dengan kemudahan komputer untuk para guru dan pelajar," katanya yang mewakili Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Presiden PRS, Datuk Sri Dr James Jemut Masing berkata kemenangan BN di Batang Ai adalah bukti terhadap kerjasama yang padu antara semua komponen BN di Sarawak.

Katanya komponen BN yang bersama-sama membantu Malcolm, bekerja dengan penuh semangat BN tanpa sebarang agenda terselindung.

Malcolm pula berkata kemenangan BN di Batang Ai bukan hanya merupakan kemenangan dirinya, namun ia adalah amanah daripada rakyat dan beliau bersedia untuk meneruskan agenda BN dalam membantu masyarakat luar bandar di Sarawak. BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Selasa, 14 November 2017 9:00 AM

“Penat..Tapi Best!” - Nad Zainal

Kolumnis

iklan

Iklan