Bantuan ehsan bencana dikemas kini - Muhyiddin

Diterbitkan: Khamis, 30 April 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA SAMARAHAN: Kerajaan akan mengemas kini proses pengeluaran bantuan ehsan supaya ia dapat disalurkan dengan cepat kepada mangsa bencana, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata pendekatan yang akan dikaji oleh Majlis Keselamatan Negara ialah bagi menurunkan kuasa membuat pengeluaran bantuan ehsan dalam jumlah tertentu kepada agensi di peringkat negeri.

"Dalam masa yang sama, pemberian bantuan ehsan kepada mangsa banjir juga tidak perlu menunggu sehingga majlis penyampaian diadakan, malah boleh dilakukan sendiri oleh wakil agensi kerajaan, ketua masyarakat di peringkat negeri atau bahagian itu sendiri," katanya pada majlis penyampaian bantuan wang ehsan sebanyak RM34.1 juta kepada mangsa banjir di Sarawak baru-baru ini di sini hari ini.

Jumlah tersebut merangkumi bantuan ehsan kepada 4,112 keluarga yang berpindah ke pusat pemindahan, 46,742 keluarga yang tidak berpindah, 16,760 petani dan perternak kecil, tiga keluarga kehilangan anggota keluarga dan pemilikpemilik 68 rumah yang musnah.

Muhyiddin berkata kementerian dan agensi yang berkaitan perlu memberikan perhatian kepada usaha meningkatkan dan mempelbagaikan ekonomi masyarakat yang terlibat supaya dapat menampung keperluan kehidupan mereka selepas dilanda sesuatu kejadian bencana.

"Saya sedar kejadian banjir yang berlaku selama sebulan di Sarawak baru-baru ini telah banyak memberi kesan kepada kehidupan masyarakat setempat dan dalam kajian impak yang dijalankan, kerajaan negeri mengenalpasti beberapa keperluan bagi tujuan pemulihan yang diperlukan untuk pembangunan semula," katanya.

Muhyiddin berkata peruntukan sebanyak RM420 juta meliputi tiga komponen utama untuk pembangunan semula iaitu bantuan ehsan berjumlah RM34.1 juta, pencegahan (RM231.3 juta) dan pemulian (RM154.8 juta).

Beliau berkata kerajaan persekutuan melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan Sarawak akan menyalurkan peruntukan bagi tujuan pencegahan dan pemulihan secara berperingkat mengikut keutamaan.

Kerajaan negeri pula akan mempercepatkan pengagihan bantuan yang telah dipersetujui kepada mangsa banjir yang disenaraikan tetapi belum menerimanya, katanya.

Muhyiddin berkata kadar bantuan yang diluluskan kepada keluarga yang ditimpa bencana itu termasuk RM300 bagi keluarga yang tidak perpindah, RM500 (keluarga yang berpindah ke pusat pemindahan), RM5,000 (pengurusan kematian), RM3,000 (rumah musnah akibat banjir) dan RM1,000 bagi setiap petani atau penternak yang mengalami kerosakan pertanian, ternakan dan akuakultur.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan