Penanti: Pemuda PAS juga mahu tanding, pusat kata tidak

Diterbitkan: Rabu, 29 April 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Tidak sampai 24 jam selepas Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengumumkan calonnya Mansor Othman, Pemuda PAS Pulau Pinang dan Bahagian Permatang Pauh dilihat memberi kata dua - mahu meletakkan calon mereka pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti 31 Mei ini.

PAS dikatakan menganggap kerusi tersebut sebagai kubu kuat parti itu walaupun pada pilihan raya umum lalu ia ditandingi oleh wakil PKR.

Difahamkan PAS Permatang Pauh mengambil langkah mahu 'memulau' pilihan raya kecil Penanti ekoran rasa tidak puas hati PKR bertanding.

Pemimpin-pemimpin PAS negeri itu mahu PKR memberi laluan kepada PAS untuk bertanding di Penanti bulan depan.

Ketua PAS Permatang Pauh, Omar Hassan memberitahu, parti tersebut mahu bertanding di kerusi tersebut kerana pengundi di bahagian itu sudah tiada keyakinan terhadap PKR.

"Penyokong akar umbi mahu perubahan. Kami akan menunggu dan lihat sama ada permintaan kami akan dipenuhi," kata beliau kepada The Star ketika dihubungi.

PAS Permatang Pauh memutuskan demikian pada mesyuarat malam tadi.

Terdahulu, Ketua Pemuda PAS, Mohd. Hafiz Mohd Nordin berkata, satu perbincangan dengan presiden parti berhubung hal itu akan diadakan dalam tempoh terdekat ini.

"Ini adalah permintaan akar umbi yang mahukan PAS mengambil balik kawasan itu, Pemuda sendiri telah mempunyai calon yang sesuai," kata beliau dipetik Bernama.

Semalam, Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Timbalan Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang, Mansor Othman, 56, telah dipilih sebagai calon parti itu untuk bertanding pada pilihan raya kecil DUN Penanti bulan depan.

Kerusi itu kosong berikutan peletakan jawatan penyandangnya, yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri 1, Mohammad Fairus Khairuddin.

Mohd. Hafiz berkata, setakat ini belum ada sebarang perbincangan yang dibuat antara PAS dengan Penasihat PKR itu berhubung calon Pemuda PAS yang turut akan bertanding di DUN Penanti.

DUN Penanti mempunyai 15,384 pemilih berdaftar 72.68 peratus daripadanya pengundi Melayu, 24.22 peratus Cina, 2.39 peratus India dan 0.71 peratus lainlain bangsa.

KOMEN PAS PUSAT

Dalam pada itu, Pengarah Pilihan Raya PAS pusat, Datuk Mustafa Ali ketika dihubungi mStar Online pula berkata, pihaknya tidak akan meletakkan calon di Penanti kali ini.

"PAS tidak akan meletakkan calon," kata beliau sambil menambah, apa yang berlaku di Pulau Pinang adalah masalah dalaman parti.

"Kita akan dapatkan laporan tentang masalah di Pulau Pinang... kita perlu pergi ke lapangan dan dengar rungutan mereka," kata beliau lagi.

Mustafa menjelaskan, apa yang pasti, berdasarkan persefahaman yang telah wujud dalam Pakatan Rakyat, PKR yang akan meletakkan calonnya dan PAS akan menyokong.

"Kami akan menghormati persefahaman yang telah dicapai oleh Pakatan, parti yang pernah bertanding (dalam pilihan raya umum) akan meletakkan calon masing-masing dalam pilihan raya kecil.

"Apa-apa perubahan (tukar kawasan dan bolehkan parti lain bertanding) hanya akan dibuat ketika pilihan raya umum akan datang," tambah beliau. Ahad lalu, Mustafa juga ada menegaskan bahawa PAS akan memberi laluan kepada PKR untuk bertanding di Penanti pada pilihan raya kecil yang diumumkan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) kelmarin.

Jelasnya, parti itu menghormati hak PKR untuk meletakkan calon mereka untuk mempertahankan kerusi DUN berkenaan.

"Kita (PAS) tidak bercadang untuk bertanding di Penanti walaupun itu kubu kuat PAS. Kita hormati hak mereka (PKR).

"Setahu saya setakat ini PAS juga tidak ada perbicangan mengenainya (bertanding di Penanti)," katanya.

Beliau turut menafikan khabar angin yang mengatakan parti itu akan meletakkan calon untuk bertanding di kerusi DUN Penanti.

Sebelum ini, Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr. Hassan Mohamed Ali mengizinkan sekiranya ada cadangan untuk meletakkan calon parti itu pada pilihan raya kecil kawasan berkenaan.

Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti kosong berikutan peletakan jawatan penyandangnya, Mohammad Fairus Khairuddin, 33, dari PKR pada 16 April lalu dengan alasan untuk membersihkan namanya daripada segala tohmahan selain bagi membolehkan beliau melanjutkan pelajaran.

iklan

Video

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Kolumnis

iklan

Iklan