Laporan siasatan PKFZ diumum dalam seminggu, kata Tee Keat

Diterbitkan: Rabu, 29 April 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Lembaga Pelabuhan Klang (PKA) diberi seminggu untuk mendedahkan kepada umum laporan keputusan audit Pricewaterhouse Coopers (PwC) berkaitan akaun Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Sambil menekankan laporan tersebut sudah sedia ada, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ong Tee Keat berkata, Datuk Lee Hwa Beng yang perkhidmatannya sebagai Pengerusi PKA telah disambung, diberi tanggungjawab untuk mengumumkan laporan audit PwC.

Sehubungan itu, kata beliau, salah satu keutamaan Lee ialah memastikan laporan tersebut diumumkan kepada publik dalam tempoh seminggu mulai hari ini.

"Saya difahamkan bahawa laporan PwC telah disediakan dan dalam menunaikan janji-janji saya sebelum ini, ia seharusnya didedahkan kepada umum secara keseluruhan.

"Saya telah berjanji untuk memastikan ketelusan dalam isu ini dan saya mahu memegang pada kata-kata saya," kata beliau dalam blognya hari ini.

Pada Mei lalu, PwC telah dilantik untuk mengendalikan audit keseluruhan bebas ke atas akaun projek Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang.

Langkah audit itu ekoran bantahan umum berhubung pinjaman mudah berjumlah lebih RM4.6 bilion yang diberikan oleh kerajaan.

Pada Ahad lalu, Ong membidas laporan sebuah akhbar bisnes yang mengaitkan beliau dengan kelewatan dalam menyiarkan keputusan audit berkaitan akaun Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang.

Akhbar itu dengan sengaja "menggambarkan saya sebagai batu penghalang" menerusi penyiaran laporan seperti itu, kata Ong lagi.

"Ya, anda berhak menyuarakan pandangan tetapi jika semua ini sama dengan fitnah, anda perlu menerima sepenuhnya tindakan undang-undang yang diambil," katanya.

Ong berkata, beliau tidak pernah diwawancara oleh akhbar berkenaan, dan tertanya-tanya bagaimana akhbar itu boleh menerbitkan laporan sedemikian tanpa sumber yang sepatutnya.

Katanya, pada tahun lalu PKA telah diarah supaya melantik firma bebas dan berwibawa untuk meneliti isu akaun Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang.

Kelewatan dalam melengkapkan laporan itu bersangkut paut dengan isu-isu teknikal termasuk langkah mengubah status dokumen-dokumen utama yang berkaitan dengan siasatan, kata Ong lagi.

"Kini laporan itu sudah sedia ada", adalah wajar bagi PKA, yang mengambil langkah diadakan siasatan ini, mengeluarkan penemuan-penemuan hasil siasatan, katanya.

"Selepas itu saya akan berfikir untuk mengemukakan laporan itu kepada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dan kepada Jawatankuasa Kira-kira Awam," katanya.

ULASAN PENGERUSI PKA

Dalam pada itu, Lee berkata, kompilasi laporan mengenai Zon Bebas Pelabuhan Klang oleh PwC sudah siap, termasuk pengubahan status dokumen berkaitan dengannya.

Lee menambah, PKA dan juga PwC kini sedang mengusahakan butir-butir terperinci akhir bagi pengumuman laporan itu.

"Saya menerima arahan jelas daripada Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ong Tee Keat untuk memberi tumpuan utama kepada laporan lengkap isu PKFZ untuk orang awam," kata beliau dipetik Bernama.

"LPK yang menugaskan laporan itu, dan begitu juga, tanggungjawab untuk mengubah status dokumen itu merupakan tanggungjawab pihak berkuasa pelabuhan kami," katanya.

Beliau berkata, kelewatan itu tidak begitu ketara memandangkan ciri-ciri dan kuantiti dokumen yang terlibat.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan