Kabinet: Majlis libatkan pemimpin kerajaan tidak boleh lebihi 10.30 malam - Berita Semasa | mStar

Kabinet: Majlis libatkan pemimpin kerajaan tidak boleh lebihi 10.30 malam

Diterbitkan: Rabu, 29 April 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Majlis yang melibatkan pemimpin kerajaan hendaklah diadakan secara berhemah dan tidak melebihi 10.30 malam, kata Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim hari ini.

Beliau berkata perkara itu diputuskan oleh jemaah menteri setelah meneliti dari semasa ke semasa, program-program serta acara-acara rasmi dan bukan rasmi yang melibatkan Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, para menteri serta pemimpin kerajaan lain.

"Yang kedua ialah majlis tersebut seharusnya tidak diadakan sedemikian rupa sehingga ia nampak membazir ataupun berlebih-lebih sangat dari segi persiapan dan juga acara-acara tambahan.

"Ini sejajar dengan nilai yang hendak ditanamkan dan diamalkan di kalangan masyarakat supaya setiap penganjuran majlis itu hendaklah afdal dan menepati matlamatnya tetapi tidak membazir dan tidak membuang masa," katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Tentera Udara Diraja Malaysia Subang dekat sini, sebelum mengiringi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berlepas ke Brunei untuk lawatan rasmi selama dua hari.

Selain itu, Rais juga menasihatkan supaya sebutan nama orang kenamaan (VVIP) diringkaskan bagi menjimatkan masa.

"Kesemua ini diputuskan dan dipersetujui oleh jemaah menteri memandangkan kita mempunyai tugas dan tugasan yang amat berat, di samping itu, kita harus mendidik masyarakat kita supaya menilai masa dan juga memberi penghargaan kepada keafdalan kita berucap dan di samping itu, mengadakan majlis-majlis rasmi ataupun bukan rasmi," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, arahan berhubung perkara itu tidak meliputi acara-acara yang bersifat kebudayaan atau acara-acara yang melibatkan adat istiadat yang telah menjadi tradisi dan sebahagian daripada amalan budaya.

Rais berkata, penganjuran majlis yang tidak terlalu lama akan memberi peluang kepada semua pihak untuk pulang awal, membaca, menyemak semula program-program atau susulan yang hendak dibuat pada keesokan harinya.

"Dijangka sekiranya sesuatu majlis itu selesai pada pukul 10.30 malam ataupun pukul 10.15 malam, maka waktu pada malam hari itu masih cukup bagi semua pihak yang berkenaan itu untuk menyusun kehidupan, merancang untuk keesokan harinya, apatah lagi bagi seseorang pemimpin seperti PM, TPM dan mereka yang mempunyai masa terhad," katanya.

Beliau berkata kementerian itu akan melaksanakan perkara itu secepat mungkin, selain menyebarkan warta itu sebagai amalan yang positif. BERNAMA

BERITA TERDAHULU

PETALING JAYA: Kabinet hari ini memutuskan agar semua majlis rasmi yang melibatkan pemimpin kerajaan pusat hendaklah dibuat secara berhemah dan dalam jangka waktu yang munasabah, tidak melebihi 10.30 malam.

Ia dinyatakan oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr. Rais Yatim.

Kabinet mengadakan mesyuarat mingguannya hari ini.

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan