Aminah sedia hadapi bekas "bos" di DUN Penanti

Diterbitkan: Rabu, 29 April 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Aminah Abdullah yang menawarkan diri bertanding sebagai calon Bebas di bahagian Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti pada pilihan raya kecil bulan depan tidak gusar untuk berdepan dengan bekas "bosnya" - wakil Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mansor Othman.

Bekas Ketua Wanita PKR Pulau Pinang itu berkata, beliau sudah lama mengenali Mansor selaku "ketua" semasa dalam PKR sejak 1998 dan memang telah menjangkakan parti itu akan menurunkan beliau di Penanti.

"Saya kenal beliau (Mansor) dan beliau pun kenal saya... jadi, saya tak risau untuk menghadapi saingan nanti," kata Aminah yang telah pun menawarkan diri sebagai calon Bebas pada pilihan raya kecil kerusi Penanti.

"Beliau pernah menjadi bos saya dulu, ketika menjadi Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang... kami pernah bekerja dalam satu parti pada masa lalu," kata beliau ketika dihubungi mStar Online.

Mansor yang kini merupakan Timbalan Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang diumumkan sebagai calon PKR-Pakatan Rakyat malam tadi.

Kedua-dua Mansor dan Aminah berusia 56 tahun.

Ketika membuat pengumuman itu malam tadi, Anwar berkata, pemilihan Mansor sebagai calon adalah tepat berdasarkan latar belakang pendidikan yang tinggi, kekananannya dalam parti, seorang pemimpin yang matang dan mampu menerajui perjuangan parti di Pulau Pinang.

Mansor, bekas ahli akademik di Pusat Penyelidikan Dasar Universiti Sains Malaysia (USM) merupakan lulusan Sarjana Sains Kemasyarakatan dari USM selain memiliki Sarjana Sastera dan Sarjana Falsafah dari University of Yale.

Beliau pernah menjadi setiausaha politik kepada Anwar semasa beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Pada pilihan raya umum 2008, Mansor bertanding di DUN Pulau Betong menentang Muhamad Farid Saad dari BN tetapi tewas dengan majoriti 294 undi setelah mendapat 4,696 undi.

Beliau juga pernah bertanding tahun 2004.

Mengulas mengenai pemilihan Mansor, Aminah berkata: "Kak Amin dah jangka itu, memang Anwar mahukan Mansor, memang Anwar nak letak Mansor di Penanti awal-awal lagi. Kak Amin tidak kisah."

Pun begitu Aminah, 56, mengulangi harapan bahawa Barisan Nasional (BN) akan memberi laluan bagi kedua-dua mereka bertanding di Penanti.

"Tentang saingan, bagi Kak Amin kalau BN tak masuk, lagi cantiklah (lagi bagus)," katanya.

Pada pilihan raya umum lalu, Mohammad Fairus Khairuddin memenangi kerusi DUN Penanti dengan majoriti 2,219 undi setelah mendapat undian sebanyak 7,346 berbanding calon BN, Datuk Abdul Jalil Abdul Majid.

DUN Penanti mempunyai 15,384 pemilih berdaftar 72.68 peratus darinya pengundi Melayu, 24.22 peratus Cina, 2.39 peratus India dan 0.71 peratus lain-lain kaum.

Aminah mahu turun gelanggang DUN Penanti untuk benar-benar menegakkan keadilan dan kebenaran.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan