9 termasuk 6 sekeluarga, warga Pakistan lemas di Teluk Ramunia

Diterbitkan: Rabu, 29 April 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JOHOR BAHARU: Sembilan orang, termasuk enam sekeluarga warga Pakistan mati lemas sementara seorang lagi kanak-kanak ahli keluarga Pakistan itu berjaya diselamatkan selepas bot yang mereka naiki karam di perairan Teluk Ramunia dekat sini awal pagi ini.

Ketua Penguat Kuasa Maritim Wilayah Selatan, Laksamana Pertama Maritim Che Hassan Jusoh berkata, pihaknya menerima maklumat kira-kira pukul 9.08 pagi mengenai sebuah bot karam di kedudukan 3.2 batu nautika selatan perairan Teluk Ramunia.

"Bertindak dari maklumat tersebut, Maritim Malaysia melancarkan operasi di tempat kejadian dengan menugaskan dua bot laju dengan turut memberi bantuan kepada dua bot laju Pasukan Gerakan Marin," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Che Hassan berkata, berdasarkan maklumat awal, sebuah kapal dagang Atago telah menemui mayat seorang kanak-kanak lelaki kira-kira pukul 4.40 pagi tadi di perairan Pengerang.

Beliau berkata, sebuah kapal dagang Restore pula menemui satu mayat wanita selain menyelamatkan seorang kanak-kanak lelaki di perairan yang sama, kira-kira pukul 7.55 pagi.

Katanya, pengawal pantai Singapura kemudian menemui satu lagi mayat lelaki kira-kira pukul 10 pagi di perairan mereka sebelum Maritim Malaysia pada pukul 12.40 tengah hari menemui dua mayat lelaki dewasa dan satu mayat kanak-kanak perempuan di kedudukan 1.4 batu nautika tenggara Tanjung Ayam, perairan Teluk Ramunia.

"Satu mayat lelaki dan satu mayat wanita kemudian ditemui Pasukan Gerakan Marin pada kira-kira pukul 1.20 tengah Hari di perairan Pulau Lima sebelum mayat seorang lagi lelaki ditemui kira-kira pukul 3 petang di kawasan yang sama," katanya.

Che Hassan berkata Maritim Malaysia masih belum mengenal pasti semua mangsa dan punca kejadian manakala kanak-kanak yang terselamat itu masih dalam keadaan lemah.

Beliau berkata, kanak-kanak itu dihantar ke Hospital Kota Tinggi untuk pemeriksaan dan kanak-kanak itu memaklumkan mangsa yang mati lemas adalah di kalangan anggota keluarganya.

Katanya, kesemua mayat dibawa ke Hospital Sultan Ismail di sini dan gerakan mencari dan menyelamat dihentikan pada pukul 6 petang tadi.

Di KUALA LUMPUR, Suruhanjaya Tinggi Pakistan dalam satu kenyataan berkata anggota keluarga Pakistan yang mati lemas itu adalah dari Quetta dan dikenal pasti sebagai Zainab, Zulqarnain, Sidiqqa (bayi), Hameed, Qasim Ali dan Jumah Khan.

Katanya satu-satunya anggota keluarga itu yang terselamat ialah Aqeel Qirkeel yang berumur 14 tahun.

Mereka sedang dalam perjalanan dari selatan Johor ke Teluk Rumunia dalam lawatan secara rombongan dengan menaiki bot kecil yang berlebihan muatan apabila kejadian itu berlaku, menurut suruhanjaya itu.

Terdapat 10 penumpang dalam bot itu, bagaimanapun, kewarganegaraan lainnya yang maut masih belum dikenal pasti.

Dilaporkan bot itu karam di kawasan tiga batu nautika Teluk Ramunia yang menghala ke Laut China Selatan awal pagi ini.

Menurut Suruhanjaya Tinggi itu, keluarga itu tiba di Kuala Lumpur pada 18 April bagi lawatan sosial ke Malaysia.

Menurutnya langkah sedang diambil untuk menghantar jenazah ke Quetta selepas bedah siasat selesai.

Suruhanjaya Tinggi itu boleh dihubungi di talian 0-603-21645949, 017-8863616.

iklan

Video

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Rabu, 13 September 2017 2:00 PM

Saya Tak Jual Rupalah! - Erwin Dawson

Rabu, 13 September 2017 9:00 AM

EKSKLUSIF! Kisah Elizabeth Tan Nak Bunuh Diri

Kolumnis

iklan

Iklan