Status agama anak: PAS dakwa agenda politik kerajaan

Diterbitkan: Selasa, 28 April 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: PAS menyifatkan keputusan Kabinet berhubung status anak-anak kekal menganut agama asal meskipun salah seorang ibu atau bapa memeluk agama lain sebagai agenda politik jahat untuk menimbulkan suasana provokasi.

Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, langkah tersebut dibuat untuk menarik kembali sokongan masyarakat bukan Islam kepada Barisan Nasional dan Umno.

"Ini juga bagi membuatkan orang bukan Islam melihat kerajaan yang ada sekarang lebih baik daripada Pakatan Rakyat," kata beliau selepas menyerahkan memorandum agar ditubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi memulihkan nama baik negara dan Perdana Menteri kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-raja, Tan Sri Engku Ibrahim Engku Ngah hari ini.

Tegasnya, keputusan tersebut merupakan satu tindakan tidak adil kerana menggunakan isu agama untuk kepentingan politik.

"Saya harap masyarakat Islam akan bertenang supaya tidak timbul satu keadaan yang gawat yang akhirnya kita terperangkap dalam jebak politik sempin BN dan Umno," katanya.

Ditanya adakah perlu Pakatan Rakyat membuat kenyataan bersama dalam isu tersebut kerana DAP menyambut baik keputusan Kabinet, Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata:

"Kita harus ada perbincangan. Soalnya sekarang kenapa Kabinet membuat keputusan yang terburu-buru tanpa memanggil kita berbincang. Mereka patut panggil Majlis Fatwa, Mufti-mufti, Majlis Peguam, Majlis Peguam Muslim dan parti-parti politik untuk sama-sama berbincang.

"Saya yakin kalau kita dapat penjelasan, semua pihak termasuk orang yang bukan Islam tanpa mengira apa parti politik sekalipun, saya percaya mereka akan menerima penyelesaian yang tidak mengguris mana-mana pihak," katanya.

Mengulas lanjut mengenai isu tersebut Mahfuz berkata, dalam Perlembagaan telah menyatakan bahawa hak menentukan agama anak adalah hak salah seorang ibu atau ayah kepada anak tersebut.

"Saya secara peribadi berpegang kepada keputusan berasaskan kepada Perlembagaan Persekutuan.

"Kalau kita duduk dalam negara kita tidak ikut Perlembagaan siapa lagi yang harus menjunjung Perlembagaan negara kita?

Khamis lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mengumumkan keputusan Kabinet bahawa anak-anak kekal menganut agama asal ibu bapa masing-masing semasa berkahwin walaupun ibu atau bapa mereka kemudiannya memeluk agama lain.

Menurut Nazri, keputusan itu adalah antara penyelesaian jangka panjang yang dicapai oleh Kabinet memandangkan lebih banyak kes seperti yang melibatkan Mohd Ridzuan Abdullah dan isterinya Indra Gandhi, dijangka muncul pada masa akan datang.

Mohd Ridzuan, atau Patmanathan a/l Krishnan, 40, bekas penganut Hindu, yang kini memeluk Islam, dilaporkan telah menukar agama anaknya Tevi Darsiny, 12, Karan Dinesh, 11, dan Prasana Diksa, 1 kepada Islam pada 12 April serta memohon hak penjagaan terhadap mereka di Mahkamah Syariah walaupun emak mereka masih beragama Hindu.

iklan

Video

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan