SPR kecewa Pakatan tolak kaedah baru urus pilihan raya

Diterbitkan: Isnin, 27 April 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kecewa dengan pendirian Pakatan Rakyat yang menolak syor pendekatan baru mengendali pilihan raya dengan terurus dan tenang - menguatkuasakan larangan berkempen pada hari pengundian dan mengehadkan kehadiran penyokong parti politik.

"Parti-parti politik dari Pakatan tidak mahu dan menolak usaha SPR (yang mahu menggunakan pendekatan baru)... mereka lebih suka kepada keadaan tegang, panas dan tidak menghormati undang-undang... dia (mereka) suka itu," kata Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar ketika dihubungi mStar Online.

SPR mengadakan pertemuan dengan parti-parti politik - Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat di Putrajaya Khamis lalu secara berasingan bagi mendapatkan kerjasma dan input bagi melaksanakan kaedah baru ketika hari penamaan calon dan semasa hari mengundi.

Ia termasuklah menguatkuasakan 'hari bertenang' menjelang proses pengundian dan melarang berkempen memancing undi semasa proses pengundian berlangsung dari pukul 8 pagi hingga 5 petang.

Malah ia termasuklah melarang mendiring barung iaitu khemah panas parti-parti politik.

Selain itu, SPR mahu parti-parti politik memberi kerjasama mengehadkan kehadiran penyokong ketika hari penamaan calon.

Tumpuan perbincangan minggu lalu berkisar pada kedua-dua perkara berkenaan.

Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Mustafa Ali yang hadir mesyuarat tersebut memberitahu bahawa pihaknya membantah dan menolak pendekatan sedemikian.

Sehubungan itu, Pakatan Rakyat berkeyakinan cadangan bagi mengehadkan kehadiran jumlah penyokong parti politik pada hari penamaan calon, hari mengundi mahupun semasa pengumuman keputusan tidak akan dilaksanakan.

BN pula berkata pihaknya menyerahkan kepada SPR melaksanakan usaha-usaha itu.

SPR bercadang menguatkuasakan pendekatan baru mengehadkan penyokong pada penamaan calon dan larangan berkempen semasa hari mengundi ketika pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti.

"Saya kecewa sebab kita... mesej (yang disampaikan oleh pembangkang berdasarkan perbincangan tempoh hari) ialah jangan laksanakan, mereka tidak mahu kita menguatkuasakan undang-undang (yang sedia ada).

"Mereka mempersendakan undang-undang sedia ada... adakah ini sikap yang betul," kata Wan Ahmad sambil menambah, "kita bukan hendak berbahas, cuma hendak mendengar pandangan mereka" dan mendapatkan kerjasama semua parti bagi melaksanakan peruntukan akta pilihan raya yang sedia ada.

"Tapi kalau begitulah pendirian mereka, saya kecewa kerana tidak boleh melaksanakan undang-undang yang mereka buat di Parlimen," katanya.

Kata Wan Ahmad lagi, SPR sebenarnya berharap usaha yang diambil akan dilaksanakan untuk kebaikan semua pihak.

"Orang takut hendak keluar mengundi kerana ketegangan dan suasana tidak tenteram... kita hendak mendapatkan kerjasama sebelum keadaan menjadi lebih serius," jelas beliau.

Suruhanjaya itu, kata Wan Ahmad, akan mengadakan mesyuarat dalam waktu terdekat untuk meneliti semua pandangan yang telah dikemukakan bagi menentukan sama ada akan melaksanakannya ketika pilihan raya kecil Penanti.

SPR bermesyuarat pagi ini bagi mengesahkan kekosongan kerusi itu, sekali gus mengumumkan tarikh pilihan raya kecil.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan