Timbalan Menteri "tangkap" doktor HKL baca akhbar 20 pesakit menanti

Diterbitkan: Ahad, 26 April 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk M. Saravanan hari ini "menangkap" dua doktor di jabatan kecemasan Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana membaca akhbar dan melakukan kerja peribadi, bukannya merawat lebih 20 pesakit yang menunggu dalam kesakitan untuk mendapat rawatan.

Penemuan yang memeranjatkan Saravanan itu berlaku kira-kira 10.30 pagi ini apabila beliau pergi ke hospital berkenaan untuk melawat seorang pelajar universiti yang cedera selepas dilanggar kereta yang dipandu oleh pemandu beliau (Saravanan).

"Saya juga menunggu seketika untuk pelajar perempuan itu mendapat rawatan dan setelah menyedari tidak seorang pun pesakit dipanggil masuk oleh doktor, saya terus membuka pintu bilik rawatan.

"Saya terkejut apabila mendapati seorang doktor sedang membaca surat khabar dan seorang lagi buat hal sendiri dan melakukan kerja peribadi.

"Ada lebih 20 pesakit yang menunggu di luar untuk mendapat rawatan. Ini bukanlah cara seseorang doktor bekerja. Pesakit sepatutnya diutamakan. Lagi pun, ini adalah unit kecemasan, yang sepatutnya pantas dalam memberikan rawatan," kata Saravanan, yang jelas kelihatan kesal, kepada Bernama.

Saravanan berkata beliau menegur doktor terbabit kerana kelakuan mereka dan mendesak untuk berjumpa pegawai atasan mereka, yang muncul 30 minit kemudian.

"Selepas itu, pesakit yang menunggu pun segera diberi rawatan. Tak bolehkah doktor itu melayani pesakit dulu? Ini bukan sepatutnya cara perkhidmatan di hospital kerajaan dilaksanakan," katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, dalam satu daripada lawatan mengejutnya ke pusat bandar semalam, berkata beliau mahu barisan hadapan institusi kerajaan di ibu negara supaya meningkatkan perkhidmatan mereka kepada rakyat.

Saravanan berkata, sungguhpun beliau "menangkap" doktor terbabit secara tidak sengaja, mulai sekarang beliau akan kerap melakukan lawatan mengejut ke jabatan di bawah kementeriannya bagi memastikan kakitangan di barisan hadapan melaksanakan tugas mereka untuk berkhidmat kepada masyarakat.

"Ini adalah pembuka mata. Kami, sebagai pemimpin, tidak boleh hanya menabur janji sahaja dan tidak memeriksa sama ada kerja dilaksanakan oleh kakitangan kerajaan di barisan hadapan. Kami mesti turun ke bawah (ke akar umbi) bagi memastikan penyelesaian segera ditemui untuk masalah rakyat.

"Apatah lagi dalam keadaan ini apabila orang sedang sakit dan menanggung penderitaan akibat kesakitan itu. Jika mereka tidak sakit, mereka tidak akan datang ke unit kecemasan. Ini adalah pengajaran untuk semua hospital. Tolong bekerja untuk rakyat jika anda menganggotai perkhidmatan awam," katanya.

Sementara itu, Pengarah HKL Datuk Dr Zaininah Mohd Zain berkata, hospital itu akan mendapatkan maklumat lanjut berhubung insiden terbabit, dan jika terdapat elemen tidak bertanggungjawab, HKL akan terlebih dahulu mengambil tindakan sewajarnya.

"Mengenai insiden itu, siasatan kami menunjukkan terdapat hanya lapan pesakit, 20 sanak saudara dan tidak ada yang menanggung kesakitan kerana kami mengamalkan khidmat jagaan kesakitan holistik dan kesakitan pula sebagai tanda vital kelima.

"Doktor kami yang sentiasa bekerja keras juga manusia biasa, membaca akhbar semasa tiada kes untuknya tidak boleh ditafsirkan sebagai mengabaikan tanggungjawab.

"Kami tidak membiarkan doktor yang malas atau tidak bertanggungjawab tetapi doktor yang memahami, mengambil berat dan bekerja keras juga menjadi tanggungjawab kami," katanya menerusi mesej teks kepada Bernama.

Dr. Zaininah berkata, Jabatan Kecemasan HKL adalah sebuah jabatan yang sangat sibuk yang menguruskan 550 kes sehari dan enam pegawai perubatan bertugas bagi setiap syif lapan jam (tiga syif sehari) dengan seorang pakar, seorang pakar runding dan seorang pakar runding kanan mengelola setiap hari.

"Cabaran daripada jumlah pesakit semakin bertambah, meningkat sehingga 30 peratus ekoran krisis ekonomi semasa. "Meskipun dalam keadaan ini, kami memberikan perkhidmatan terbaik berdasarkan kaedah sistematik menerusi sistem agihan untuk mengagih dan menguruskan pesakit berdasarkan keutamaan," katanya.

Dr. Zaininah berkata, HKL akan terus menilai, mengelola dan mengekalkan kualiti perkhidmatan yang tinggi namun sokongan serta pemahaman daripada orang ramai amat penting bagi mengekalkan mutu perkhidmatan secara berterusan. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan