Hadi cabar BN tanding di Penanti

Diterbitkan: Sabtu, 25 April 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BACHOK: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mencabar BN supaya bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti sambil menyifatkan BN bersikap defensif kerana belum memutuskan sama ada untuk meletakkan calonnya atau tidak pada pilihan raya kecil itu.

Katanya, BN kini serba salah untuk berbuat demikian berikutan kemenangan pakatan pembangkang dalam beberapa siri pilihan raya kecil di Permatang Pauh, Bukit Selambau dan di Bukit Gantang.

Berdasarkan kemenangan sebelum ini, Abdul Hadi yakin parti pakatan pembangkang boleh menang dengan mudah di Penanti.

Terdahulu beliau merasmikan mesyuarat agung tahunan ke-52 Pas kawasan Bachok, di sini hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijadual mengumumkan tarikh pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri Penanti, Isnin ini.

Semalam, Presiden Umno Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak berkata, keputusan sama ada pihaknya akan bertanding di Penanti ataupun sebaliknya akan diputuskan oleh Biro Politik Umno kelak.

Dalam pada itu, laporan Bernama menyebut Abdul Hadi berdolak dalik berhubung usaha mengadakan perbincangan dengan pemimpin Umno mengenai cadangan pembentukan kerajaan perpaduan yang sebenarnya mendapat tentangan daripada anggota parti itu sendiri.

Menurutnya, hasrat untuk membincangkan cadangan kerajaan perpaduan ialah dengan kepimpinan dahulu iaitu sewaktu pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau berkata, kini perbincangan dengan pemimpin Umno berhubung cadangan itu terpaksa ditunda kerana beliau perlu menilai terlebih dahulu kepimpinan baru Umno dan Barisan Nasional (BN) yang diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sehubungan itu, beliau menolak dakwaan kononnya beliau menarik balik cadangan itu adalah bagi menjaga kepentingannya dalam mempertahan jawatan Presiden parti yang mungkin dicabar dalam muktamar agung parti Jun depan.

"Cadangan ini (kerajaan perpaduan) semasa Abdullah, tetapi sekarang (Umno) di bawah pimpinan baru (Datuk Seri Najib). Pada masa itu, pada dasarnya saya setuju, tapi sekarang lainlah ceritanya apabila Umno di bawah kepimpinan baru," katanya.

Sebelum ini, Hadi dalam temu bual dengan lidah rasmi PAS, Harakah, mengumumkan beliau menarik balik cadangan penubuhan kerajaan perpaduan yang melibatkan semua parti politik atas alasan ia tidak difahami orang ramai termasuk anggota PAS sendiri.

Hasrat Abdul Hadi berhubung cadangan itu juga dibantah Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang menyatakan cadangan itu bertentangan dengan keputusan Muktamar Agung PAS di Ipoh tahun lalu.

Nik Aziz berkata, sebarang keputusan mestilah berdasarkan keputusan yang diambil dalam muktamar agung parti dan keputusan lain hendaklah dibuat melalui satu mesyuarat khas yang dipersetuju oleh Pakatan Rakyat.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan