SMS ugutan ADUN Terengganu: Kerani 31 tahun ditahan seorang blogger

Diterbitkan: Rabu, 22 April 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permaisuri, Abd. Halim Jusoh menunjukkan salinan aduan polis dan SMS ugutan yang diterimanya selepas membuat laporan polis di Kuala Terengganu pada 13 April lalu.
AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permaisuri, Abd. Halim Jusoh menunjukkan salinan aduan polis dan SMS ugutan yang diterimanya selepas membuat laporan polis di Kuala Terengganu pada 13 April lalu.

KUALA TERENGGANU: Seorang kerani syarikat swasta yang ditahan untuk membantu siasatan berhubung penghantaran SMS ugutan kepada tiga Ahli Dewan Undangan Negeri Terengganu (ADUN) awal minggu lalu dipercayai juga merupakan blogger yang menulis tentang isu-isu Terengganu.

Suspek tersebut kini ditahan selama empat hari untuk membantu polis Terengganu menjalankan siasatan mengenainya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Polis Terengganu, ACP Fauzi Abduri berkata, lelaki berusia 31 tahun itu diberkas di sebuah rumah di Bandar Baru Bangi, Selangor pada 9.30 pagi dua hari lepas.

Lelaki berkenaan berasal dari Seri Kembangan, Selangor.

"Kami yakin dapat menyelesaikan kes ini dalam beberapa hari lagi," kata beliau di sini hari ini.

Selepas ditahan di Bandar Baru Bangi, kata beliau, suspek berkenaan telah membawa polis ke rumahnya di Seri Kembangan di mana komputer riba, perkakasan komputer dan komputer peribadi turut dirampas.

"Kita telah menubuhkan sebuah pasukan khas untuk menjalankan siasatan berhubung kes berkenaan dan insya-Allah ia akan dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat," katanya.

Pada 13 April lepas, tiga ADUN Barisan Nasional terdiri Datuk Rosol Wahid (Ajil) Zakaria Abdullah (Paka) dan Abdul Halim Jusoh (Permaisuri) membuat laporan polis selepas menerima SMS yang mengancam keselamatan mereka.

Penghantaran SMS itu, dipercayai merujuk kepada desas-desus mengenai pembentangan usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar, Datuk Ahmad Said pada persidangan Dewan Undangan Negeri yang berlangsung minggu lepas.

Dalam pada itu, Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Shukri Dahlan pula berkata, polis telah mengenal pasti bahawa SMS itu bukannya dihantar oleh pegawai kanan di pejabat Menteri Besar seperti yang dilaporkan sebelum ini.

Dalam reaksinya, Menteri Besar pula berkata, beliau lega dengan tangkapan suspek berkenaan manakala kakitangan pejabatnya tiada kaitan dengan penghantaran SMS berkenaan.

"Kebenaran akhirnya terbukti... Allah Maha Berkuasa... saya tahu bahawa ini akan diketahui satu hari nanti selepas pegawai pejabat saya memaklumkan saya bahawa perisian telah disalahgunakan oleh pakar IT di Kuala Lumpur," kata beliau apabila dihubungi.

BERITA TERDAHULU

KUALA TERENGGANU: Seorang kerani berusia 31 tahun ditahan di Seri Kembangan, Selangor bagi membantu siasatan berhubung khidmat pesanan ringkas (SMS) berbaur ugutan yang diterima oleh tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu minggu lalu.

Kerani berkenaan ditahan semalam, kata Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Shukri Dahlan.

Pada 13 April lalu, tiga ADUN Barisan Nasional (BN) Terengganu membuat laporan polis selepas menerima SMS berbaur ancaman terhadap keselamatan mereka.

SMS berkenaan dipercayai mempunyai kaitan dengan kemelut politik terbaru di negeri ini.

ADUN Ajil, Datuk Rosol Wahid membuat laporan tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu di Kuala Berang, kira-kira pukul 12.45 tengah malam.

Ia diikuti ADUN Paka, Zakaria Abdullah dan ADUN Permaisuri, Abdul Halim Jusoh yang membuat laporan sama di IPD Kuala Terengganu kira-kira pukul 12.55 tengah malam.

Mereka membuat laporan berkenaan selepas menerima SMS tersebut kira-kira pukul 11.20 malam tadi.

Abdul Halim berkata, beliau menerima SMS tersebut yang berbunyi "Baik jangan teruskan niat YB, YB tak sayang nyawa?"

Beliau mendakwa SMS tersebut diterima daripada individu yang dikenalinya iaitu seorang pegawai kanan kerajaan negeri selepas membuat semakan nombor telefon pada diari rasmi kerajaan negeri.

Wakil rakyat itu percaya ia merujuk kepada desas-desus mengenai pembentangan usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar, Datuk Ahmad Said pada Persidangan DUN.

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan