PAS minta MB Pahang jelaskan bayaran ganti rugi RM63 juta

Diterbitkan: Rabu, 22 April 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: PAS Pahang hari ini meminta Barisan Nasional (BN) negeri supaya memberi jaminan bahawa negeri itu tidak akan muflis selepas diarahkan mahkamah membayar RM63 juta kepada sebuah syarikat berhubung perlanggaran kontrak konsesi pembalakan.

Setiausaha Perhubungan PAS Pahang, Roslan Zainal berkata, kerajaan BN pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob mesti menjelaskan secara terperinci kepada rakyat berhubung perkara sebenar yang menyebabkan pelanggaran kontrak terbabit sehingga syarikat pembalakan itu berjaya dalam tuntutannya.

"Malah yang lebih penting ingin diketahui rakyat, kenapa projek besar yang asalnya dibuat oleh Umno tetapi yang dituntut membayar samannya adalah kerajaan negeri, menggunakan wang rakyat.

"Kerajaan BN Pahang mesti menjawab apakah kaedah dan sistem pengagihan konsesi pembalakan yang diamalkan di negeri ini yang kini mendapat gambaran buruk akibatnya berlakunya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Mahkamah Tinggi Kuantan mengarahkan Adnan untuk menyelesaikan bayaran RM63 juta kepada syarikat pembalakan, Seruan Gemilang Makmur Sdn Bhd (SGMSB) dalam tempoh 14 hari kerana melanggar kontrak perjanjian pemberian konsesi pembalakan di Mukim Bebar, Pekan pada 2000.

SGMSB memfailkan saman itu terhadap kerajaan Pahang dan Pengarah Jabatan Perhutanan negeri pada 9 Disember 2002 kerana melanggar kontrak konsesi pembalakan berhubung pengeluaran kayu balak di tanah seluas 4,000 hektar di Mukim Bebar.

Roslan berkata, PAS berasa dukacita dan yakin rakyat negeri itu turut berasa malu berhubung kes itu kerana ia menunjukkan pentadbiran dan pengurusan BN Pahang berada pada tahap yang amat lemah dan meragukan.

Katanya, kerajaan negeri itu kini terjerumus ke dalam krisis kewangan yang begitu meruncing setelah mengalami defisit berlanjutan termasuk pada tahun ini yang berjumlah RM98.61 juta.

"Seluruh rakyat Pahang kini amat bimbang dengan kestabilan kewangan kerajaan negeri setelah mengalami defisit sebesar itu ditambah dengan arahan Mahkamah Tinggi Kuantan supaya kerajaan negeri membayar RM63 juta kepada SGMSB.

"Kerajaan BN Pahang terbukti gagal memikul amanah yang diberikan rakyat menyebabkan kerajaan negeri diarah membayar sejumlah wang yang besar yang tidak sepatutnya berlaku," katanya.

Beliau turut menyeru rakyat negeri itu supaya menggunakan kuasa dan hak demokrasi mereka untuk menolak kepimpinan Umno dan BN yang dikatakan korup dalam pilihan raya akan datang.

"Rakyat perlu merubah keadaan bersama dengan rakyat negeri-negeri lain yang telah memilih Pakatan Rakyat," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan